Menurut beliau, pegawai distruptif tidak perlu membuat laporan kepada ketua pegawai eksekutif (CEO) sesebuah syarikat ke­rana seseorang CEO sudah cukup sibuk mengemudi organisasi.

“Tubuhkan pasukan kecil. Beri perhatian kepada DNA teknologi yang berkemungkinan mengganggu atau distruptif di masa hadapan,” kata beliau pada sesi khas pada Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-13 bertema ‘Perubahan Distruptif: Impak dan Cabaran’ di sini hari ini.

Wozniak atau The Woz dianggap sebagai ‘otak geliga’ kepada kemahiran perniagaan Steve Jobs semasa mereka berdua memulakan komputer Apple.

Bercakap panjang lebar me­ngenai teknologi distruptif, beliau turut mempersoalkan apakah manusia hari ini lebih bahagia dengan teknologi sedia ada, berbanding manusia 10,000 tahun dulu.

Khusus mengenai Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligent atau AI), beliau berkata, AI sepatutnya hanya menjadi penyumbang kepada manusia, melakukan sesuatu yang mereka boleh untuk membantu manusia.

“Ada masanya saya tertanya-tanya apakah jika anda mengendalikan syarikat menerusi AI dan tidak menggunakan CEO manusia, mungkinkah anda tidak akan meraih keuntungan.

“Saya menyaksikan AI dan manusia saling menyokong, walaupun mungkin AI akan ak­hirnya mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada manusia,” ujar beliau.

Menjawab soalan daripada ha­dirin, Wozniak mengaku pendiriannya semasa bergiat di dalam Apple tetap utuh iaitu beliau mereka cipta bukan atas matlamat bagi mengeluarkan produk secara besar-besaran tetapi lebih kepada mahu menghasilkan reka bentuk terbaik.

“Saya tidak berminat mengenai wang. Saya serahkan kepada orang lain untuk menguruskan buku akaun saya.

“Saya lebih teruja bila rakan-rakan jurutera datang dan bercakap mengenai reka cipta saya. Itulah kepuasan penuh bagi saya,” ujar beliau.

Apple kata Wozniak, di­minati ramai kerana sejak permulaan, beliau dan Jobs mereka cipta komputer dengan mat­lamat ‘memudahkan penggunaan kompu­ter’, berbanding orang lain.