Vahland, 60, warga negara Jerman merupakan bekas Pengerusi Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Škoda Auto, anak syarikat milik penuh Kumpulan Volkswagen.

Dalam pengalaman 33 tahun beliau dalam bidang automotif, Vahland pernah menjadi Presiden dan CEO Volkswagen di China pada 2005, selain menjadi Naib Presiden Global Volkswagen AG.

Sumber industri memberitahu Utusan Malaysia, pelantikan Vahland ‘menunjukkan tahap keseriusan pengurusan untuk mendapatkan bakat sebenar automotif ke dalam Proton.’

Sementara itu, DRB-Hicom juga dijangka membuat pengumuman rasmi pelantikan CEO baharu Proton, Li Chunrong iaitu pegawai yang dipilih oleh rakan strategik kereta nasional itu, Zhejiang Geely.

Sumber industri memberitahu, Chunrong yang kini sudah berada di ibu pejabat korporat Proton di Shah Alam, difahamkan telah menemui pegawai-pegawai ka­nan syarikat.

“Pengumuman itu akan memperjelaskan struktur pengurusan baharu Proton dan paling genting, jawatan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) juga dijangka daripada kalangan pegawai yang dipilih oleh Zhejiang Geely.

“Chunrong yang sudah tiba dari China, dijadual memulakan tugasnya secara rasmi pada Isnin ini,’’ kata sumber industri tersebut.

Nama Chunrong sebenarnya telah heboh dalam industri automotif global bakal menerajui Proton setelah beliau dilaporkan oleh media China awal bulan ini, meletak jawatan dalam Dongfeng-Honda Engine Co Ltd dan menyertai Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd, pada Ogos lalu.

Portal berita Xinhuanet dipetik sebagai berkata, Li melepaskan jawatan ahli lembaga pengarah dan naib presiden eksekutif Dongfeng-Honda pada 21 Ogos lalu, sebelum menyertai Geely keesokannya.

Pada 15 September lalu, DRB-Hicom mengumumkan Datuk Ahmad Fuaad Kenali akan melepaskan jawatan sebagai Ke­tua Pegawai Eksekutif Proton berkuatkuasa 30 September ini. Beliau disahkan akan menerajui Malakoff Corporation Berhad.

Pada 23 Jun lalu, DRB-Hicom memeterai perjanjian menjual 49.9 peratus sahamnya dalam Proton kepada Geely, yang juga pemilik Volvo Car Group dari Sweden.

DRB-Hicom turut menjual 51 peratus pegangannya dalam Lotus Advance Technology Sdn. Bhd. kepada Geely dengan nilai RM277.85 juta (£51 juta), manakala baki 49 peratus lagi kepada Etika Automotive Sdn. Bhd.

Proton diasaskan pada 1983 tetapi dibelenggu masalah kewangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini walaupun menerima bantuan kerajaan.

Pada 2001, ia menguasai 53 peratus pasaran tempatan, sebelum merosot kepada 14 peratus tahun lepas kerana lebih ramai pembeli memilih jenama lain.

Pada 8 Ogos lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, Proton masih berstatus syarikat Malaysia dan pengeluar kende­raan nasional, walaupun melantik pengerusi warga negara asing untuk menerajui transformasi syarikat itu.

Katanya, kerajaan tiada kuasa untuk campur tangan soal pelantikan pengerusi Proton, sebalik­nya ia terpulang kepada lembaga pengarah syarikat itu.