Lima perkara itu ialah pertama, melaksanakan transformasi digital merangkumi teknologi canggih bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti di dalam sektor pertanian, pengilangan, perkhidmatan kewangan, pendidikan, pembangunan kemahiran dan latihan, pembangunan prasarana dan penjagaan kesihatan.

Kedua, mempromosikan persekitaran yang membolehkan pembangunan wakaf dan kewangan sosial sebagai komponen penting di dalam industri kewangan Islam.

Ketiga, memupuk pembangunan ekosistem halal menggabungkan makanan halal, kewangan Islam, pelancongan halal, fesyen menutup aurat, media halal dan rekreasi serta kosmetik dan farmaseutikal halal.

Keempat, meningkatkan kolaborasi antara kerajaan bagi mempromosikan ekonomi hijau, terutama teknologi hijau dan pemuliharaan hidupan liar termasuk spesies diancam kepupusan.

Kelima, memastikan perubahan distruptif meliputi Kecerdasan Buatan dan Robot, Fintech, Blockchain, Internet of Things, Pengkomputeran Data Besar dan Kenderaan Autonomi atau Tanpa Pemandu, dan Bitcoin beroperasi di dalam kerangka kerja perundangan yang sepatutnya.

“WIEF Ke-13 mencatatkan kejayaan besar dan dalam banyak cara, merupakan edisi paling hebat pernah diadakan,’’ kata Pengerusi WIEF, Tun Musa Hitam pada sesi taklimat kepada media selepas berakhirnya forum itu di sini hari ini.

WIEF Ke-13 telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa lalu, yang turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Musa berkata, WIEF sengaja memberi tumpuan kepada mencipta peluang dan gerak tindak sebenar untuk benar-benar membolehkan perniagaan, negara dan masyarakat. Inilah misi yang mana WIEF berada di kedudukan unik untuk disampaikan.

“Paling penting, semua MoU, inisiatif dan program yang diketengahkan dalam tiga hari ini disasarkan untuk mewujudkan laluan bagi tindakan positif selepas forum - seterusnya dibawa ke mesyuarat tahun hadapan,’’ katanya.

Sebanyak 16 MoU telah dimeterai, bernilai AS$2.43 bilion (RM10 bilion) iaitu nilai komersial tertinggi pernah dicapai dalam sejarah WIEF.

Forum ini telah dihadiri 3,249 peserta termasuk 23 menteri dan wakil khas dari Malaysia, Indonesia, Filipina, Iran, Palestin, Maghribi, Kazakhstan dan Rusia, serta tokoh korporat, ahli akademik dari 77 negara. Tarikan utama WIEF ini ialah Steve Wozniak, Pengasas Bersama Apple.