Pengarah Eksekutifnya, ­Azrin Sabirin berkata, kesedaran masyarakat yang semakin me­ningkat mengenai kepen­tingan perancangan harta membawa kepada peningkatan mendadak permintaan terhadap per­khidmatan Wasiyyah Shoppe sejak tiga tahun lepas.

“Perunding kewangan ter­utama takaful dan saham ama­nah perlu mengambil peluang untuk menjadi perunding kami dan menawarkan perkhidmatan ini kepada pelanggan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wasiyyah Shoppe baru-baru ini meraikan para perunding dalam majlis Konvensyen kali kelapan dan dihadiri 400 perunding aktif dari seluruh negara.

Menurutnya, sebanyak 37 anugerah pelbagai kategori ­telah dimenangi oleh para perunding dengan pencapaian tertinggi iaitu Anugerah Khalifah dimenangi oleh Kausar Wealth Management Sdn. Bhd.

“Konvensyen ini adalah acara tahunan yang dianjurkan Wasiyyah Shoppe bagi memberi pengiktirafan kepada perun­ding yang telah mencapai kejayaan dalam membantu umat Islam merancang harta mereka.

“Penilaian utama dalam pemberian anugerah-anugerah ini bukan sahaja dari segi jualan, malah kepatuhan prosedur dan disiplin mereka turut diberi perhatian kerana kami mahukan perunding yang berkualiti dan boleh memberi maklumat tepat serta perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azrin berkata, Wasiyyah Shoppe sejak 2004 telah memperkenalkan pelbagai modul latihan inovatif dan komprehensif yang berjaya melahirkan perunding mahir dengan selok-belok perundangan pe­rancangan harta dan pada masa sama berpegang kepada kod etika profesional ditetapkan.

Menurut Azrin, pihaknya menyaksikan perubahan landskap industri ditambah kesedaran masyarakat yang semakin meningkat berkenaan urusan perancangan harta menyebabkan perancang kewangan bukan sahaja perlu membawa produk pelaburan dan perlindungan, tetapi perlu menambah nilai perkhidmatan mereka.

“Wasiyyah Shoppe merupakan penyedia perkhidmatan perancangan harta bersifat butik yang terbesar di Malaysia dengan tawaran 35 jenis per­khidmatan perancangan harta secara syariah yang mampu memenuhi hampir semua ke­perluan rakyat Malaysia. Para perunding berpeluang me­nembusi hampir semua segmen pasaran dengan perkhidmatannya,” ujarnya.