KUALA LUMPUR 10 Mac. - Golongan wanita dijangka mengubah landskap dunia pekerjaan dengan kadar pembabitan purata dianggarkan meningkat sehingga 40 peratus menjelang 2025.
Perunding Wawasan Inovasi Utama Frost & Sullivan, Olivia Price-Walker berkata, kebangkitan wanita terutamanya dalam jawatan kepimpinan eksekutif mendorong para penjual untuk meneliti semula pendekatan perniagaan mereka.
Beliau berkata, penemuan tersebut berdasarkan kajian The Next Frontier of Growth—Women as Corporate Customers yang dijalankan oleh Frost & Sullivan.
“Sebanyak 250 juta wanita dijangka menyertai pasaran pekerjaan sekali gus menyaksikan ekonomi yang didominasikan golongan wanita menjadi kuasa yang kuat dengan pendapatan global mencecah AS$24 trilion (RM106 trilion) menjelang 2020.
“Jumlah tersebut adalah lebih besar berbanding perolehan yang dijana ekonomi negara China dan Amerika Syarikat. Ini akan merapatkan jurang jantina dalam kadar penyertaan tenaga kerja sebanyak 25 peratus, seterusnya memberi kesan ekonomi yang besar di negara membangun dan negara-negara maju,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
The Next Frontier of Growth—Women as Corporate Customers merupakan sebahagian daripada Inovasi Wawasan Mega Trend Perkongsian Pertumbuhan Langganan (GPS) Frost & Sullivan.
Kajian itu turut mendedahkan pemilikan wanita akan menyumbang lebih 40 peratus daripada perniagaan berdaftar di seluruh dunia pada tahun 2020, yang diterjemahkan kepada pasaran besar pelanggan korporat.
“Asia Pasifik dijangka mempunyai tenaga kerja wanita paling ramai dengan sebahagian besarnya merupakan golongan milenial pada 2025 diikuti Afrika yang mengetuai dalam keusahawanan wanita,” kata Price-Walker.
Tambahnya, negara seperti Norway kini sedang berusaha mendapatkan hak sama rata jantina dalam tenaga kerja dengan peratusan wanita tertinggi yang pernah menduduki kerusi lembaga pengarah adalah sebanyak 42 peratus pada tahun 2014 dan 2015.
“Wanita mendominasi pasaran global dengan mengawal hampir AS$31 trilion (RM137 trilion) perbelanjaan pengguna pada tahun 2014 dan ini dijangka meningkat kepada AS$43 trilion (RM191 trilion) menjelang 2020.
“Ini mungkin menyebabkan perubahan besar dalam penggunaan serta tingkah laku membeli-belah dan membuka peluang-peluang baharu dalam perniagaan barangan pengguna dan perkhidmatan.
“Syarikat-syarikat yang berjaya menyesuaikan diri dengan segmen pembeli baharu ini akan lebih bersedia untuk berkembang dalam tempoh beberapa dekad akan datang,” katanya.