Pengarah Urusan Medi-Mes­ra Care Management Sdn. Bhd., (MMC Sdn. Bhd.) Datuk Nor’ashikin Taib berkata, ini akan memberi kelebih­an kepada wani­ta bukan sahaja dari segi pemilikan harta­nah tetapi juga sebagai pelaburan untuk masa hadapan.

Katanya, sehubungan itu go­longan wanita dinasihatkan ber­belanja dengan berhemah supaya mereka mampu membuat tabu­ngan untuk membeli rumah sendiri mengikut kemampuan masing-masing.

“Pada pandangan saya, keseda­ran ini harus bermula dari peringkat universiti lagi dan wanita harus mempunyai matlamat memiliki hartanah sendiri apabila memasuki alam pekerjaan. Tidak perlu me­nunggu apabila berkahwin, suami akan sediakan segala-galanya.

“Ini kerana dengan memiliki hartanah sendiri, ia memberi banyak kelebihan kepada golongan wanita terutama apabila berlaku penceraian atau kematian suami di kemudian hari,” katanya ketika mengupas topik Wanita dan Hartanah pada Simposium Hartanah Utusan 2017 (SHU 2017) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Jayaselan K.Navaratnam; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.

Program dua hari bermula hari ini dianjurkan MMC Sdn. Bhd. bersama akhbar Utusan Malaysia yang menampilkan 11 penceramah hartanah tersohor tanah air bagi mengupas ilmu hartanah dengan lebih mendalam.

Selain membawakan pelbagai topik menarik dan kupasan terperinci mengenai hartanah, SHU 2017 yang bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang turut menyediakan pelbagai aktiviti sampingan untuk direbut setiap peserta.

Menurut Nor’ashikin, bagai­manapun, golongan wanita perlu memahami tentang selok-belok pemilikan hartanah seperti dari segi undang-undang, perjanjian jual beli hinggalah kepada pemilihan lokasi yang strategik.

Beliau juga menasihati golo­ngan wanita supaya berhati-hati sekiranya mahu membuat pembelian hartanah dan sentiasa berwaspada bagi mengelakkan terjerumus dengan taktik penipuan daripada penjual terutama jika membabitkan pembelian rumah sekunder dan rumah lelong.

“Sama seperti kita mencari jodoh, pastinya kita mahu menge­tahui latar belakang bakal suami begitu jugalah apabila kita mahu membeli sesebuah rumah, yang juga penting untuk masa depan wanita,” katanya.