Pada umumnya, setiap hari ialah masa-masa yang terbaik untuk membeli saham. Masa terbaik untuk membeli saham sama ada semasa aliran menaik mahupun aliran menurun. Yang agak sukar membuat keuntungan ialah semasa aliran mendaftar di mana harga-harga saham bergerak di dalam jajaran sempit dengan jumlah dagangan yang kurang dari 2 bilion.

Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah pedagang harian atau jangka pendek masih mampu meraih keuntungan di dalam aliran mendatar ini. Sebagai contoh, mereka membeli saham syarikat tersenarai yang berharga 20 sen dan menjualnya pada harga 20.5 sen. Beza harga setengah sen ini mampu memberikan pendapatan yang lumayan terutamanya yang membeli saham dengan kuantiti besar serta mendapat caj pembrokeran yang rendah.

Pedagang saham yang aktif dan mempunyai masa yang banyak melihat pergerakan harga saham sentiasa mencari-cari peluang menjana keuntungan segera pada awal waktu dagangan Bursa Malaysia. Suasana pasaran kemudian menjadi perlahan seketika selepas jam 10 pagi. Ini disebabkan terdapat aktiviti pengambilan untung atau kerana pelabur ingin tahu keadaan pembukaan bursa-bursa serantau atau bursa-bursa negara Asia.

Justeru, pelabur bijak akan membuat penjualan segera sebelum pukul 10 pagi sekiranya mereka beli semalam atau sejurus pasaran dibuka awal pagi untuk mengelakkan harga saham mengalami penurunan.

Maka, selepas waktu pengambilan untung, pedagang atau pelabur saham bolehlah menjalankan aktiviti rutin. Tidak perlu memerhatikan turun naik saham di skrin komputer sepanjang hari. Hanya melihat pada waktu-waktu tertentu. Begitu juga dengan pesanan jual beli. Anda boleh meletakkan harga jual sejurus transaksi beli terlaksana.

Sekiranya anda was-was atau tidak pasti pada harga berapa untuk meletakkan pesanan jual, ambil pendekatan jual sahaja saham yang dibeli jika ia telah menghasilkan keuntungan. Ataupun, jual separuh daripada jumlah unit saham yang dibeli. Sebagai contoh, anda membeli saham syarikat XYZ pada harga 30 sen untuk jumlah 100,000 unit saham. Anda boleh letak pesanan jual 50,000 unit dahulu pada harga 32 sen.

Sekiranya anda mempunyai waktu untuk melihat kembali skrin komputer dan mendapati pesanan jual telah dipadankan dan harga semasa ialah 35 sen, anda boleh terus menjualnya pada harga 35 sen iaitu harga yang diminta oleh pembeli. Pendekatan ini amat penting bagi pelabur dan pedagang baharu serta yang tidak mahir membaca carta pergerakan saham dan sentimen pasaran.

Ramai kalangan masyarakat kita yang merasa hairan melihat begitu ramai pelabur runcit Cina memenuhi ruang galeri syarikat broker saham yang menempatkan skrin-skrin kom­puter. Majoriti mereka merupakan pesara serta profesional yang adakalanya meluangkan masa seharian duduk di depan skrin. Justeru, kita mesti membuat anggapan bahawa mereka meraih keuntungan tidak kira masa, sepanjang waktu. Mungkin pagi atau petang atau keduanya sekali.

Maka, bagaimana mereka boleh meraih keuntungan di waktu petang padahal di waktu pagi atau sesi pertama, kemungkinan mereka telah mengambil untung seperti yang telah diterangkan di atas tadi.

Untuk makluman para pembaca, sesi petang merupakan sesi jualan paksa yang aktif dikenakan ke atas pedagang kontra. Jualan paksa dikenakan ke atas saham yang dibeli tetapi tidak dibayar pada tempoh masa yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia. Waktu terakhir bergantung kepada syarikat broker saham dan perlu dibuat sebelum pasaran ditutup.

Jika kita perhatikan, pukul 3 hingga 3.30 petang merupakan waktu jualan paksa yang aktif berbanding pada sesi pagi. Pedagang saham yang telah menyelesaikan semua penjualan saham pada sesi pagi akan mengintai-intai semula atau mencari saham-saham yang sedang jatuh semasa jualan paksa sedang berjalan. Tujuannya ialah untuk menjual saham tersebut apabila berlakunya pantulan teknikal.

Ataupun, untuk mengambil peluang menjual saham tersebut pada keesokan hari jika kenaikan harga saham itu berterusan hingga esoknya. Faktor yang menyebabkan kenaikan yang berterusan ialah berlakunya trend aliran menaik seperti yang dilihat pada carta saham serta terdapatnya aktiviti jual beli yang rancak yang menyumbang kepada pertambahan dalam jumlah dagangan.

Kita sambung topik ini di minggu depan. Jangan lupa manfaatkan maklumat yang dibaca dalam urus niaga saham anda.