Dalam kenyataan hari ini, HSBC Malaysia berkata, ke­upayaan pengilangan di kawasan itu memainkan peranan penting dalam perdagangan global dan rantaian bekalan, dengan perniagaan tempatan kini menggunakan teknologi tinggi, menghasilkan segala-galanya daripada fabrik mewah hinggalah kepada cakera keras dan semikondukor.

MATTHEW LOBNER
MATTHEW LOBNER 

Ketua Antarabangsa Strategi dan Perancangan HSBC bagi Asia Pasifik, Matthew Lobner berkata, kawasan berkenaan sudah jauh berubah sejak Krisis Kewangan Asia 1997-1998 selain Taper Tantrum (lonjakan dalam pulangan ha­sil Rizab Persekutuan Amerika Syarikat) 2013.

“Ekonomi konsti­tuennya, secara umum, kini lebih berdaya tahan terhadap kejutan kewangan luar. Rizab pertukaran asing telah meningkat. Tahap hutang luar negara menurun. Baki akaun semasa juga semakin baik.

“Selain itu, banyak syarikat, sama ada yang sudah mantap atau syarikat pemula niaga, kini mempunyai pengalaman dan pengaruh untuk memberi perkhidmatan kepada pasaran antarabangsa dan menarik pelaburan besar dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia, Singapura dan Indonesia telah membangunkan syarikat pemula niaga seperti portal tenaga kerja atas permintaan, GoGetmy, portal e-dagang Lazada dan syarikat e-hailing seperti Grab dan Go-Jek, yang banyak di jalan raya, selain telefon pintar di keseluruhan kawasan terbabit.

HSBC Malaysia berkata, untuk tahun-tahun akan datang, institusi itu bersedia me­laksanakan lebih banyak penyepaduan ekonomi dan kewa­ngan serta perdagangan sesama negara anggota di kawasan itu, yang mungkin tidak akan terjejas oleh ketegangan perdagangan global dan kebimbangan yang semakin meningkat dalam pasaran.

Katanya, inisiatif infrastruktur antara negara di kawasan itu akan meningkatkan perhubungan fizikal dengan penggunaan dan inovasi semakin pesat membangun, urbanisasi serta penembusan internet dan telefon pintar yang telah me­ngubah cara 650 juta penduduk membeli-belah, bank dan pertukaran maklumat. – BERNAMA.