Reka bentuk luaran

Dari segi reka bentuk hadapannya, ia amat menarik de­ngan penampilan lampu nyalaan siang berbentuk C digandingkan dengan lampu utama. Jalur krom pada lampu utama dipanjangkan hingga kepada jeriji utama. Rekaan lampu yang menggunakan jenis Pure Vision Full LED projectors sepenuhnya menjadikan ia menarik.

Lampu utama belakang juga tidak kurang menariknya. Walaupun terdapat garis lekuk C, tetapi lampu itu dipanjangkan dan dipisahkan dengan logo Renault di bahagian tengah. Daripada pandangan sisi pula, kelihatan seperti Nissan X Trail dan ia tidak menghairankan kerana berkongsi platform yang sama. Cuma fizikal Koleos ini jauh lebih menawan.

Reka bentuk dalaman

Buka sahaja pintu, anda akan dihidangkan dengan kerusi kulit premium separa bucket yang mampu menahan badan daripada tergelincir ketika mengharu­ngi jalan berselekoh tajam.

Garis postur pada kerusi menjadikan anda hanya ingin duduk di belakang tetapi melihat kepada papan pemukanya menyebabkan anda mahu duduk di hadapan untuk merasai skrin infotainment bersaiz 8.7 inci.

Skrin menegak itu merupakan skrin infotainment R-Link 2 terbesar dalam kelasnya dan boleh diprogramkan mengikut kehendak pemandu. Ia kelihatan seperti sebuah tablet.

Bagi melengkapkan suasana dalaman yang mewah, sistem hiburan dalaman dihubungkan dengan lapan pembesar suara Arkamys. Ia menghasilkan bunyi hiburan kelas pertama yang terbaik dibantu oleh sistem kedapan dalaman yang senyap ketika memandu.

Tetapi, apa yang paling meng­ujakan ialah skrin berkenaan boleh mengawal dan melaras lampu suasana kabin dengan pili­han warna hijau, biru, ku­ning, merah atau ungu di papan pemuka, spedometer dan sisi pintu. Ia macam serupa dengan BMW X5.

Pengalaman di jalan raya

Bagi menguji Koleos 4WD ini, penulis memilih laluan Kuala Lumpur ke Terengganu yang menggabungkan laluan lebuh raya dan jalan kampung. Model ini digerakkan oleh enjin 2.5 liter dan kotak gear CVT daripada Nissan.

Koleos walaupun tampak unik dan radikal, tetapi kuasanya tidaklah radikal. Kuasa yang ditampilkan tidak terlalu mendesak dan mengambil masa untuk memecut. Penulis terpaksa mematikan butang ekonomi untuk memecut dan memintas kenderaan.

Karektor untuk Koleos ini sebenarnya mengutamakan kese­lesaan. Pada kelajuan 150 kilometer sejam (km/j) hingga 170 kmj ia sudah terasa selesa. Pada kelajuan tersebut tidak terasa de­ruan angin memasuki kabin dan pemanduan masih stabil.

Koleos bukanlah sebuah SUV yang perlu dipandu secara tergesa-gesa, tetapi untuk menikmati ke­selesaan yang ditawarkan. Ia adalah sebuah jentera ‘fesyen’ dari Perancis!