VjQyZkBj

KUALA LUMPUR 8 Jun – Rakyat Malaysia aktif membeli-belah ketika bersahur dengan peningkatan trafik dalam talian sebanyak 105 peratus pada pukul 5 pagi, menurut kajian yang dilakukan oleh iPrice Group.

iPrice Group dalam kenyataannya berkata, peningkatan tersebut jauh lebih tinggi iaitu naik 90 peratus berbanding kajian tahun lalu dan 11 peratus lebih tinggi sebelum Ramadan.

Menurutnya, trafik dalam talian mengalami penurunan pada pukul 7 malam kerana persediaan orang ramai untuk berbuka puasa.

“Pada waktu ini, trafik menurun sebanyak sembilan peratus namun, bersambung semula selepas solat tarawih dan mencapai kemuncaknya pada pukul 10 malam,” katanya di sini hari ini.

Menurut iPrice, produk fesyen popular antara bara­ngan yang dicari semasa Ramadan me­mandang­kan ramai yang membuat persiapan awal untuk menyam­but Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, pihaknya mengenal pasti kata kunci paling popular seperti ‘Baju Raya’ dan ‘Baju Raya 2018’ dengan menggunakan Google Trends.

“Pelbagai jenama tempatan aktif mempamerkan koleksi dan tawaran raya 2018 mereka melalui pelbagai kempen pengiklanan, media sosial dan pemasaran. Empat jenama yang paling dicari adalah Naelofar Hijab, Fashion Valet, MuslimahClothing.com dan Siti Khadijah,” jelasnya.

Mengenai permintaan tinggi untuk promosi tiket penerbangan pula, iPrice memberitahu, pencarian untuk membeli tiket bermula pada separuh kedua Mei.

Kata kunci paling popular yang dikaitkan dengan promosi adalah AirAsia, Malindo Air dan Malaysia Airlines.

“Selain tiket penerbangan, carian oleh rakyat Malaysia juga tertumpu kepada barangan runcit dan dagangan seperti biskut, juadah tradisional dan produk makanan lain. Orang ramai akan mencari pasar raya besar yang menawarkan promosi raya se­perti Aeon, Giant, Tesco, Aeon Big, Econsave dan Mydin bagi memaksimumkan perbelanjaan mereka,” katanya.