Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Nazim Rahman berkata, di bawah pelan yang dikenali sebagai Visi 2022 itu, PMB menyasarkan untuk menguruskan nilai aset berjumlah RM5 bilion menerusi anak syarikat pengurusan dananya, PMB Investment Bhd. (PMB Investment).

Katanya, ketika ini PMB Investment menguruskan aset bernilai RM1.1 bilion menerusi 14 dana unit amanah dan menjangkakan nilai itu mencecah RM1.9 bilion menjelang hujung tahun ini.

“Bagi saya, sasaran yang kita tetapkan ini adalah saiz dana yang realistik yang boleh kita capai memandangkan PMB Investment adalah syarikat pengurusan dana kendiri yang tidak didokongi oleh sebuah institusi perbankan seperti syarikat-syarikat pengurusan dana yang lain, jadi ini adalah sasaran yang boleh dicapai.

“Selain meningkatkan dana dan mengekalkan prestasi PMB Investment dalam industri unit amanah supaya kita berada di kedudukan nombor satu dari segi prestasi, kita juga akan mengukuh­kan segmen pembiayaan kewangan dan teknologi kewangan (fintech) yang merupakan aktiviti teras Kumpulan Pelaburan Mara untuk mencapai Visi 2022,” katanya di sini baru-baru ini.

Secara dasarnya, aktiviti pembiayaan kewangan akan ditingkatkan untuk menjadi penyumbang terbesar kepada perolehan kumpulan PMB iaitu 53 peratus manakala kluster pelaburan langsung (27 peratus), khidmat nasihat pelaburan (13 peratus) dan pengurusan dana (tujuh peratus).

Di bawah pelan strategik itu, ia akan menyaksikan PMB memberi tumpuan kepada dua lagi kluster tambahan iaitu perkhidmatan data pelaburan dan penarafan kredit.

PMB merupakan syarikat pela­buran strategik dan perkhidmatan kewangan yang dimiliki sepenuh­nya Majlis Amanah Rakyat (Mara), memiliki enam anak syarikat iaitu PMB Tijari Bhd., PMB Investment Bhd., PMB Nominess (Tempatan) Sdn. Bhd., PMB Assets Sdn. Bhd., PMB Consulting Sdn. Bhd. dan terbaharu, PMB Analytics Sdn. Bhd. (PMB Analytics).

Baru-baru ini, PMB Investment Berhad menerima empat Anugerah Dana Islam Global dari The Thomson Reuters Lipper Global Islamic Fund Awards. Lima dana terbaiknya mencatat kadar pula­ngan sehingga 33 peratus bagi tempoh setahun, sehingga 56 pera­tus bagi tempoh tiga tahun dan sehingga 112 peratus bagi tempoh lima bagi tahun kewangan ber­akhir 31 Disember 2017.

Dalam usaha meningkatkan inisia­tif fintech, PMB Investment memperkenalkan Sistem Pengurusan Peneraju Jualan Atas Talian (OSEM) pada Disember lalu yang berfungsi sebagai sistem pengurusan prospek jualan yang diterima melalui media sosial dan capaian digital.

Bagi menambah nilai perkhid­matan ditawarkan PMB, penubuhan PMB Analytics dengan kerjasama Dorsey Wright & Associates (DWA), sebuah syarikat milik Nasdaq Inc. yang berpangkalan di Virginia, Amerika Syarikat dapat membantu kumpulan meneroka pasaran ASEAN dan Asia Pasifik menjelang 2020.

Sebuah lagi anak syarikat milik PMB, iaitu PMB Tijari memberi perkhidmatan pembiayaan kewangan mulai 2015 dengan meng­agihkan pembiayaan sebanyak RM135 juta kepada 41 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurut Nazim, pada tahun ini sebanyak RM200 juta lagi akan diagihkan kepada 40 syarikat de­ngan setakat suku pertama tahun ini, sebanyak RM40 juta pembia­yaan telah diagihkan melibatkan lapan syarikat.

Katanya, kebanyakan syarikat itu terlibat di dalam sektor minyak dan gas, teknologi, pembinaan, perkilangan dan penjagaan kesihatan dengan nilai pembiayaan antara RM1 juta hingga RM5 juta.

“Kita berharap di bawah pelan strategik ini, kita dapat meningkatkan jumlah pembiayaan kewangan ini kepada RM1 bilion bagi membantu lebih ramai PKS bukan sahaja dalam menyediakan akses kepada pembiayaan tetapi juga membantu mereka berkembang ke peringkat global,” katanya.

Beliau memberitahu, bagi memperkukuhkan segmen khidmat nasihat pula, PMB dijangka melancarkan agensi penarafan kreditnya pada Julai tahun ini melalui kerjasama dengan Dagong Global Credit Rating Co., iaitu antara agensi penarafan kredit terbesar di China.

Jelas beliau, pihaknya baru sahaja memperoleh kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk mendaftarkan agensi penarafan kredit milik asing yang pertama di Malaysia.

“Menerusi pelancaran agensi penarafan kredit ini yang dikenali sebagai Dagong Malaysia Rating Services Sdn. Bhd., kita menyasarkan nilai terbitan sukuk yang akan menerima penarafan kredit sehingga RM3 bilion bagi tahun pertama operasi,” katanya.