Mungkin itu juga perasaan yang dialami oleh mereka dalam membuat keputusan untuk membeli motosikal.

Penulis percaya, skuter Yamaha XMax 250 yang ditunggang uji pada kali ini juga tidak terlepas menjadi dilema buat mereka yang berhasrat memilikinya.

Melihat kepada saiznya, 2,185 milimeter (mm) panjang dan 775 mm lebar, pasti ramai tertanya-tanya, sesuaikah skuter ini dijadikan sebagai pengangkutan harian?

Bagi penulis, pada peringkat permulaan iaitu sebaik sahaja memasuki Lebuh Raya Utara Selatan dari Ibu pejabat Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. di Sungai Buloh, Selangor me­nuju ibu negara pun sudah dirasakan yang jentera ini ada kelainan tersendiri.

Menunggang maxi scooter berenjin empat lejang 250 cc ini melebihi had laju kebangsaan terasa seperti di atas superbike. Stabil dan lancar, tidak sedikit pun rasa cuak.

Perisai angin boleh laras mem­bolehkannya ‘memotong’ angin dari depan sekali gus menjadikannya lebih aerodinamik.

Justeru penulis berpendapat, untuk berulang-alik setiap hari dalam jarak perjalanan sederhana jauh, skuter ini cukup sesuai, tidak memenatkan.

Ruang simpanan di bawah tempat duduk pula cukup luas, boleh mengisi dua topi keledar penuh muka serta barangan lain.

Ditambah kompartmen mini yang boleh disimpan barangan peribadi termasuk dilengkapi soket mengecas gajet menjadikan perjalanan lebih selesa dan tenang.

Mahu digunakan untuk touring pada hujung minggu pun sesuai. Tidak perlu mempunyai sebuah superbike.

Beg pakaian juga tidak perlu digalas di belakang, boleh di­simpan di bawah tempat duduk. Selain itu, handlebar jentera ini boleh dilaraskan mengikut ke­sesuaian fizikal penunggang dan posisi tunggangan.

Memasuki pusat bandar selepas itu, ada sedikit kesukaran buat penulis dengan ketinggian kira-kira 164 sentimeter (cm).

Setiap kali berhenti di lampu isyarat merah dan simpang jalan, penulis terpaksa berjengket walaupun tinggi pelana hanya 795 mm berikutan tempat duduknya yang lebar.

Walau bagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang membebankan kerana berat basah skuter ini hanya 179 kilogram (kg).

Dari segi penampilan, rupa bentuk XMax 250 memang sporty sekali gus me­nyerlahkan gaya si penunggang.

XMax 250 juga unik disebabkan sistem kunci pintar berpusat untuk menghidupkan dan mematikan kuasa enjin serta membuka tempat duduk, handlebar, penutup tangki minyak dan kompartmen.

Semuanya boleh dilakukan dengan menekan dan memutar satu suis sahaja. Tidak perlu memasukkan kunci, cukup sekadar menyim­pannya di dalam poket seluar atau baju.

Skuter ini turut dilengkapi ciri-ciri keselamatan seperti lampu utama depan dan belakang jenis diod pemancar cahaya (LED) yang terbukti amat berkesan di kawasan-kawasan gelap serta sistem brek antikekunci (ABS) dan sistem kawalan cengkaman (TCS).

Dijual pada harga bermula RM22,498.50, XMax 250 ditawarkan dalam dua warna iaitu Metallic White dan Rusty Bronze.

Spesifikasi 
YAMAHA 
XMAX 250

Enjin: 
Jenis-silinder tunggal, penyejuk cecair, 4-lejang, SOHC, 4-injap

Sesaran-250 cc

Bor x sambaran-70.0 mm x 64.9 mm

Nisbah mampatan-10.5:1

Kuasa maksimum-16.8 kW @ 7,000 rpm

Daya kilas maksimum-24.3 Nm @ 5,500 rpm

Sistem pelinciran-takung basah

Sistem bahan api-suntikan

Sistem pencucuhan-TCI

Sistem penghidup-Elektrik

Sistem transmisi:

Automatik v-belt

Casis:

Panjang-2,185 mm

Lebar-775 mm

Tinggi-1,465 mm

Tinggi tempat duduk-795 mm

Jarak roda-1,540 mm

Kelegaan lantai minimum-135 mm

Berat basah-179 kg

Muatan tangki penuh-13 liter

Brek:

Depan-cakera tunggal hidraulik 267 mm

Belakang-cakera tunggal hidraulik 245 mm

Ampaian:

Depan-cabang teleskopik

Belakang-berayun

Gerak depan-110 mm

Gerak belakang-79 mm

Tayar:

Depan-120/70-15

Belakang-140/70-14