Video oleh ASMA HANIM MAHMOOD

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, pelaksanaan Wakaf Maik Muamalat turut didokong lima buah bank Islam lain yang bergabung di bawah Persatuan Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) iaitu Affin Bank Berhad; Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB); Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat); Maybank Islamic Berhad dan RHB Islamic Bank Berhad.


Beliau berkata, kerjasama strategik dalam kutipan dan pengurusan wakaf tunai itu akan memberi kemudahan kepada pelanggan bank dan orang ramai untuk melaksanakan ibadah wakaf dengan lebih baik.


“Bank Muamalat akan bekerjasama dengan bank-bank Islam yang terlibat untuk mengutip dana wakaf daripada orang ramai.


“Dana yang dikutip akan diuruskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JPB) antara Bank Muamalat dengan Maik yang akan merangka dan melaksanakan aktiviti wakaf terutamanya dalam sektor pendidikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi termasuk pelaburan yang difikirkan sesuai bagi menjana dana wakaf sedia.


“Bank Muamalat telah memulakan perkhidmatan wakaf sejak tahun 2012 lagi dan akan menggunakan pengalaman dan kepakaran ini untuk meningkatkan keyakinan masyarakat menyumbang kepada Wakaf Maik Muamalat,” katanya semasa berucap di Majlis Perasmian dan Menandatangani Perjanjian Persefahaman Wakaf Maik Muamalat di Hotel Perdana di sini hari ini.


Majlis itu telah disempurnakan oleh Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra.


Yang turut hadir, Pengerusi JBP Wakaf Maik Muamalat, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi.- UTUSAN ONLINE