Pengarah dan Pengasas Umma, Zairin Zainul Azman berkata, pasaran fesyen muslimah mempunyai banyak permintaan bukan sahaja dari Malaysia, Singapura dan Brunei, tetapi juga di United Kingdom.

Beliau berkata, Umma yang memasarkan jenamanya secara dalam talian mempunyai kelebihan bagi memasarkan produknya ke pasaran glo­bal dan ini dapat membantu mengembangkan dan mengu­kuhkan jenamanya.


“Ketika ini saya percaya Umma merupakan antara lima jenama terkemuka bagi fesyen muslimah di Malaysia, walaupun baharu bertapak di Malaysia pada 2017.

“Saya yakin dengan kerja keras pasukan dan sokongan pelanggan yang berterusan, Umma mampu menjadi jenama fesyen muslimah terkemuka bukan saja di Malaysia malah di negara-negara serantau,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis pelancaran koleksi sedia dipakai (RTW) terbaharu kelua­ran Umma.

ZAIRIN ZAINUL AZMAN
ZAIRIN ZAINUL AZMAN 

Zairin berkata, koleksi RTW baharu itu ditawarkan pada harga mampu milik iaitu RM99 sehelai dan ia disasarkan bagi golongan wanita yang sentiasa ingin tampil kemas dan menarik di sebalik kesibukan menjalani rutin harian.

Katanya, setiap koleksi baju dan seluar ditawarkan dalam dua warna pilihan.

“Pelanggan boleh mendapatkan koleksi baharu kami di laman web www.umma.my atau di Isetan KLCC bermula hari ini,” katanya.

Zairin berkata, selain laman web miliknya sendiri, Umma juga dipasarkan melalui beberapa platform dalam talian yang lain seperti Fashion Valet, Zalora dan Shopee.

“Ini memberi kelebihan kepada para pembeli kerana sesetengah platform kadang-kala menawarkan promosi yang berlainan dan ini dapat membantu pembeli membuat pilihan de­ngan lebih bijak,” katanya.