Naib Presiden Eksekutif Pengguna dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) TM, Imri Mokhtar berkata, sebagai peneraju penyedia WiFi awam negara, TM mempunyai tanggungjawab untuk memastikan seluruh negara sentiasa terhubung menerusi perkhidmatan Unifi.

Katanya, buat masa ini TM menawarkan perkhidmatan WiFi itu secara percuma di tempat-tempat awam termasuk institusi pendidikan, pusat beli-belah dan hab pengangkutan seperti lapa­ngan terbang.

“Kami melihat kawasan-kawasan berkenaan sememangnya menjadi tumpuan pengguna untuk mendapatkan kemudahan WiFi secara percuma dan atas dasar itulah, TM akan menambah jumlah lokasi ke 100,000 tempat lagi seluruh negara.

“Pelaburan penambahan bagi projek ini akan termasuk sebagai perbelanjaan modal (Capex) syarikat untuk tahun kewangan 2018,” katanya kepada pemberita dalam majlis penjenamaan se­mula Unifi di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly dan Pengarah Eksekutif dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Bazlan Osman.

Unifi berwajah baharu itu me­rangkumi kemudahan perkhidmatan jalur lebar untuk kediaman iaitu Unifi home, mudah alih iaitu Unifi mobile menggantikan webe, televisyen (Unifi TV) dan wifi (Unifi WiFi) yang dijenamakan semula.

Imri berkata, penjenamaan semula Unifi itu bermakna TM kini merupakan satu-satunya jenama di Malaysia yang menawarkan sambungan internet menyeluruh di mana-mana sahaja di bawah satu bumbung.