Video oleh ZABRY MOHAMAD MADZLAN & IZZUL AHMAD

Manakan tidak, banyak ulasan oleh penganalisis jentera dua roda menyatakan model terbaru ini sudah diberi banyak penambahbaikan berbanding keluaran sebelumnya.

Lagipun, S1000R adalah antara motosikal diminati penulis maka pelawaan itu tidak mampu ditolak umpama peribahasa, pucuk dicita ulam mendatang.

Dihasilkan daripada gen S1000RR, kuasa sebenar jentera naked ini mula penulis rasai sebaik sahaja memasuki lebuh raya dari ibu pejabat BMW Malaysia di Cyberjaya menuju ibu negara.

Kuasa enjin 999 cc membolehkannya meluncur begitu stabil dan gagah di atas jalan.

Ditambah sistem quickshifter melancarkan lagi penukaran gear tanpa perlu menarik clutch sekali gus mengekalkan momentum kelajuan.

Dapat dirasakan jentera buatan Jerman ini bukan untuk newbie atau baru berjinak-jinak dengan motosikal berkuasa tinggi tetapi lebih kepada mereka yang berhasrat mahu upgrade jentera sedia ada.

Apa yang ketara adalah enjinnya memenuhi standard Euro 4 iaitu pelepasan asap yang meminimumkan pencemaran alam sekitar.

Proses menjadikan enjin ini lebih mesra alam ternyata tidak menjejaskan prestasinya sebaliknya kuasa kuda (hp) berupaya ditingkatkan kepada 165 iaitu penambahan lima hp berbanding model sebelumnya.

Pembaharuan ini pastinya memberikan kepuasan kepada penunggang kerana mampu meninggalkan dengan pantas kenderaan-kenderaan lain setiap kali pendikit dipulas.

Di atas kertas, jentera ini mampu mencapai kelajuan maksimum melebihi 200 kilometer sejam (km/j).

Namun sedikit tidak me­nyenangkan penulis berikutan kedudukan tunggangan yang menjurus kepada gaya SBK atau dalam kalangan rakan-rakan penulis menggelarnya ‘motor sujud’, tengkuk mudah lenguh selepas beberapa ketika dalam kelajuan tinggi.

Mungkin tiada windshield untuk menampan angin dari arah depan atau barangkali juga letih berpuasa membuatkan penulis rasa sedemikian tapi itu bukanlah isu besar. Keadaan serupa biasa dialami penunggang ketika membawa motosikal naked lain.

Selain itu, motosikal ini mudah dikendalikan kerana mempunyai berat hanya 205 kilogram (kg) dengan tangki penuh, kurang dua kg. daripada model sebelumnya.

Dikatakan pengurangan berat tersebut banyak disumbangkan oleh pemasangan ekzos titanium jenis Akrapovic HP.

Bukan sahaja menarik bentuknya, bunyi yang dihasilkan juga sedap didengar, cuma tidak cukup ‘garang’. Seperkara lagi yang membuatkan penulis cukup kagum dengan S1000R adalah ciri-ciri keselamatan yang ada padanya.

Penulis merasai sendiri kehebatan itu ketika berdepan detik mencemaskan semasa melalui Lebuh Raya Cheras-Kajang dalam hujan lebat.

Ketika berada dalam kelajuan tinggi, secara tiba-tiba beberapa kereta di depan berhenti disebabkan sebuah motosikal tergelincir akibat takungan air di atas jalan.

Sistem brek antikekunci (ABS) dan kawalan stabil automatik (ASC) ditambah mod rain membolehkan penulis memperlahankan serta memberhentikan motosikal dengan pantas, selamat walaupun jalan basah.

Di dalam bandar pula, S1000R masih berupaya untuk membontoti kapcai mencelah deretan kenderaan ketika jalan sesak.

Didatangkan dalam dua warna iaitu kelabu (catalano grey) dan merah/hitam (racing red/black storm metallic), S1000R dijual pada harga RM82,006.32 tanpa cukai barang dan perkhidmatan (GST).