Pengasas hartanahguru.com, Abdul Aziz Ahmad berkata, caranya ialah peminjam perlu membayar sejumlah nilai bagi setiap enam bulan dalam masa sepuluh tahun terawal bagi mengurangkan pinjaman pokok secepat mungkin.

Jelasnya, wang untuk bayaran itu boleh diperoleh daripada Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah pengurangan utama (principle reduction) yang boleh dikeluarkan setiap enam bulan sekali.

“Tekniknya ialah mengurangkan pinjaman pokok sebanyak dan secepat mungkin menerusi wang Akaun 2 KWSP, contohnya membayar RM10,000 setiap enam bulan sekali gus meminimumkan kadar faedah dan masa pinjaman.

“Jika harga pokok rumah bernilai RM400,000, peminjam perlu membayar faedah sebanyak RM350,000. Tetapi dengan cara ini mereka boleh menjimatkan masa selama 20 tahun dan nilai pinjaman berjumlah RM376,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sesi perbincangan bertajuk Teknik Langsai Hutang Rumah 10 Tahun pada Simposium Hartanah Utusan 2017 (SHU 2017) di sini hari ini.

SHU 2017 anjuran akhbar Utusan Malaysia dan MMC Sdn. Bhd. yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini menampilkan 11 penceramah hartanah tanah air bagi mengupas ilmu hartanah dengan lebih mendalam.

Abdul Aziz berkata, terdapat tiga sebab wang Akaun 2 KWSP boleh dikeluarkan iaitu bagi pembelian rumah pertama, holiday payment atau percutian bayaran bagi masalah kewangan, serta principle reduction.

Tambah beliau, pembeli rumah perlu peka dengan perubahan kadar faedah pinjaman semasa daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan mereka tidak seharusnya terlepas walaupun sebulan bagi pembayaran bulanan asal.

“Ikut nasihat bank. Jika bank suruh naikkan ansuran, naikkan dan jika turun, turunkan. Ia kerana saranan tersebut adalah berdasarkan kadar faedah dan itu adalah cara untuk menyelesaikan pinjaman mengikut masa,” ujarnya.