Video Ihsan PERODUA

Lima varian ditawarkan me­rangkumi transmisi manual (MT) dan automatik (AT) iaitu Myvi 1.3 Standard G (MT), 1.3 Standard G (AT), 1.3 Premium X (AT), 1.5 High (AT) dan 1.5 Advance (AT).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh berkata, struktur rangka Myvi serba baharu itu boleh disifatkan sebagai model yang pertama direka sepenuhnya oleh pereka dan jurutera Perodua.

Menurut beliau, bagaimanapun Daihatsu masih berterusan membantu dan menyokong dalam perancangan produk, kejuruteraan dan pengeluaran serta membantu bahagian-bahagian penting untuk pasukan projek Myvi.

“Ini bukan sahaja membuktikan keyakinan rakan teknologi kami iaitu Daihatsu terhadap kami, tetapi membenarkan kami menyesuaikan kereta terbaharu ini untuk memenuhi keperluan dan kehendak citarasa rakyat Malaysia yang unik,’’ katanya.

Beliau berucap demikian di majlis Pelancaran Logo Myvi serba baharu yang turut disaksikan oleh Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn. Bhd. (PCSB), Datuk Zainal Abidin Ahmad; Pengarah Eksekutif (PCSB), Kazuyoshi Nagata; Presiden Pero­dua Global Manufacturing Sdn. Bhd. (PGMSB), Datuk Ahmad Suhaimi Hashim dan Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd. (PSSB), Datuk Dr. Zahari Husin.

Pada majlis itu, Aminar meng­umumkan tempahan Myvi serba baharu akan bermula esok di kesemua pusat jualan Perodua di seluruh negara, manakala pelancarannya akan dilakukan tidak lama lagi.

Sementara itu Zahari berkata, sasaran jualan Myvi baharu itu dianggarkan sebanyak 6,000 buah sebulan untuk tiga bulan pertama kerana harga yang ditawarkan amat berpatutan dengan ciri-ciri keselamatan dan teknologi pemanduan yang dipertingkatkan.

Myvi ini merupakan sebuah kenderaan cekap tenaga (EEV) yang ditawarkan dengan ciri-ciri akses pintar seperti butang untuk menghidupkan dan mematikan enjin, lampu depan LED dengan fungsi Auto-Off dan Follow-me-home, sistem Eco Idle iaitu mematikan enjin ketika berhenti dan alat pembaca tol yang terbina dalam.

Model itu juga turut dilengkapi Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC), Isyarat Berhenti Kecemasan (EES) dan Bantuan Pemanduan Termaju (ASA).

Myvi serba baharu ini lebih panjang, lebih lebar dan lebih rendah berbanding model Myvi yang terdahulu dengan rim 14 inci untuk varian 1.3 liter dan 15 inci untuk 1.5 liter.