Justeru, tidak adil sekiranya penulis mahu membuat perbandingan dari segi prestasi antara kedua-duanya.

Walau bagaimanapun, memadai jika penulis katakan, nama yang diberikan iaitu MT atau master of torque sudah cukup untuk menggambarkan ketangkasan kedua-duanya.

Penulis merasai sendiri kehebatan MT-09 terbaharu semasa menunggang uji dari Batu 14 Hulu Langat, Selangor menuju Seremban, Negeri Sembilan melalui Kuala Klawang sejauh kira-kira 95 kilometer (km).

Sebahagian laluan ini juga dikenali sebagai Litar Lumba Antarabangsa Kuala Klawang (KKIC) yang mempunyai lebih 200 selekoh tajam dan pendek.

Ternyata jentera dengan enjin 3-silinder, 4-lejang berkapasiti 847 cc ini seolah-olah memang dicipta untuk laluan mencabar sedemikian.

Penulis tidak perlu bersusah payah untuk menukar gear setiap kali mahu masuk dan keluar selekoh kerana daya kilas motosikal ini cukup tinggi.

Hanya kawal pendikit dan ‘kepit’ motosikal ini, ikut sahaja rentaknya. Tidak perlu risau jika berdepan saat mencemaskan ke­rana ada sistem brek antikekunci (ABS) pada roda depan serta belakang, menambahkan lagi keyakinan penulis.

Cuma yang tidak seronoknya, kedua-dua paha penulis hampir kejang, mungkin kerana menunggang dalam tempoh agak lama di laluan berselekoh. Ataupun mungkin gaya tunggangan yang agresif membuatkan penulis tidak fit disebabkan faktor usia kerana bukan lagi tergolong dalam ka­tegori belia.

Walau apa pun, MT-09 cukup menyeronokkan di laluan mencabar sebegini.

Penulis juga berkesempatan meredah kesesakan Lebuh Raya Sultan Iskandar (Lebuh Raya Mahameru) di ibu negara pada waktu puncak. Sama juga keadaannya, jentera ini sekali lagi tidak mengecewakan.

Dengan panjang 2,075 mm, lebar 815 mm dan berat 193 kilogram (kg), MT-09 lancar mencelah antara deretan kenderaan, begitu mudah dikendalikan.

Begitu juga ketika berhenti di simpang jalan dan lampu isyarat merah. Dengan tinggi tempat duduk 820 milimeter (mm), tidak susah untuk penulis yang berke­tinggian 164 sentimeter (cm) me­labuhkan kaki.

Dari segi penam­pilan, jentera ini memang mampu me­narik perhatian ramai terutama lampu depan berkembar diod pemancar cahaya (LED) futuristik yang merupakan antara ciri-ciri terbaru MT-09. Malah sewaktu terserempak dengan budak-budak sekolah, mereka mengaitkannya dengan watak robotik dalam filem Transformers.

Ciri-ciri terbaharu lain antaranya adalah dua suspensi depan boleh laras berbanding hanya satu pada model sebelumnya; sistem penganjak pantas (QSS); reka bentuk baharu sirip radiator, salur udara serta kowl ekor; sistem kawalan tarikan (TCS) boleh alih; dan pemegang plat ayun lekap.

Bagi penulis, MT-09 merupakan sebuah motosikal yang menyeronokkan untuk ditunggang tidak kiralah untuk kegunaan harian mahupun sekadar dibawa keluar pada hujung minggu.

Apa yang pasti, selain memberikan kepuasan menunggang, jentera ini juga nampak sporty membuatkan kehadirannya sentiasa mendapat perhatian ramai.

Didatangkan dengan dua warna iaitu Night Fluo (kelabu) dan Tech Black (hitam), MT-09 ditawarkan pada harga RM47,388 termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST).