Video oleh LOKMAN HAKIEM ABD. SAMAD

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Hans-Peter Ressel berkata, kempen bermula 11 November hingga 14 Disember itu akan menampilkan sebanyak 90 juta produk dengan penjimatan sehingga 90 peratus.

Beliau berkata, penganjuran buat kali keenam kempen tersebut dengan bertemakan Shop the Universe juga dijangka meningkatkan trafik di laman web dan aplikasi Lazada Malaysia sehingga lima kali ganda.

“Semakin ramai para pengguna meletakkan kepercayaan yang tinggi ketika membeli-belah secara dalam talian dan ini menunjukkan ekosistem e-dagang telah berkembang dengan sangat pesat dalam pasaran Malaysia.

“Aplikasi Lazada telah dimuat turun oleh seramai satu pertiga populasi negara malah kami menjangkakan antara satu dalam lima rakyat Malaysia akan menggunakan platform ini sempena Online Revolution 2017.

“Lazada terbukti berkembang bersama keperluan pelanggan dan tawaran produk telah me­ningkat sehingga tiga kali ganda berbanding tahun lepas,” katanya ketika ditemui pada acara pelancaran kempen itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Pemasaran Lazada Malaysia, Andrew Gnananantham.

Ressel berkata, sepanjang kempen pengguna boleh membeli-belah jenama seperti NYX, Maybelline, Carlo Rino, Dettol, JBL, Drypers, Watsons, Nivea dan banyak lagi dengan harga diskaun sehingga 90 peratus.

Tambah beliau, para pembeli juga berpeluang mendapatkan tawaran harga dari serendah RM1, promosi beli satu percuma satu, jualan kilat jenama tertentu serta ‘Kotak Misteri’ dengan penjimatan harga.

“Lazada turut memperkenalkan seksyen baharu di laman webnya untuk memberikan lebih banyak akses kepada pelanggan seperti ‘Barangan Digital’ me­rangkumi baucar, kad hadiah dan pakej pelancongan.

“Selain itu, terdapat juga ‘Kedai Rasmi’ dengan lebih 1,000 jenama seperti Estee Lauder, Clarks, Senheng, L’Oreal, serta produk-produk dalam ‘Koleksi Taobao’ iaitu antara kedai dalam talian terbesar di China,” ujarnya.