Nor'ashikin Taib

Pengarah Urusan Medi-Mes­ra Care Management (MMC) Sdn. Bhd., Datuk Nor’ashikin Taib berkata, persepsi negatif tersebut akan menyebabkan seseorang individu itu berundur daripada membeli rumah sebelum me­ngetahui situasi sebenar.

Katanya, pelaburan pada asasnya tidak kira hartanah mahupun saham melibatkan wang ringgit justeru wang simpanan adalah komponen utama untuk me­labur.

Walau bagaimanapun tegas beliau, masyarakat hari ini lebih gemar membelanjakan wang untuk memenuhi kehendak mereka berbanding mementingkan ke­perluan.

“Mungkin ramai berpendapat golongan muda berpendapatan sederhana atau rendah masih tidak boleh memiliki rumah sendiri, tetapi mereka sebenar­nya boleh berbuat demikian.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak terlalu memilih rumah yang mahu dimiliki dan disiplin baik dalam pengurusan kewa­ngan peribadi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

MMC bersama akhbar Utusan Malaysia semalam menganjurkan Simposium Hartanah Utusan 2017 (SHU 2017) yang menampilkan 11 penceramah hartanah tersohor tanah air bagi mengupas ilmu hartanah de­ngan lebih mendalam.

Secara keseluruhan, Nor’­ashikin merasakan SHU 2017 berjaya mencapai objektif untuk mendidik orang ramai mengenai asas-asas pengetahuan dalam bidang hartanah.

Sehubungan itu beliau berpendapat SHU wajar diteruskan pada masa akan datang dan perlu menarik lebih banyak penyertaan seperti golongan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) supaya mereka mendapat pendedahan awal.

“Pelajar semester akhir IPT perlu tahu situasi semasa justeru mereka akan menabung dengan lebih awal dan dapat menguruskan kewangan dengan lebih berhemah,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, MMC akan menganjurkan Pame­ran Harta Tanah Bumiputera 2017 (BPEX 2017) yang bermula pada 5 hingga 7 November ini di Pusat Pameran Mid Valley.

Penganjuran BPEX 2017 bertujuan mempromosi unit kuota bumiputera yang belum lagi terjual di sekitar Lembah Klang.