Itu ayat Mark Schaefer, seorang ikon pemasaran dunia. Mark, dalam penulisan terbaharu di blog Businesses Grow miliknya, menasihati para pembaca dan pengikutnya agar berhati-hati dengan apa jua trend yang wujud pada masa ini.

Kata beliau : “Nak ikut boleh, nak guna fikir dahulu.’’ Ini kerana dunia kini nampak­nya didominasikan oleh video yang mana sahaja kita berada terutamanya di media sosial. Idea yang mengatakan bahawa 95 peratus kandungan digital bakal dikuasai oleh video mula kedengaran di mana sahaja persidangan dan perjumpaan, sesi perbincangan yang melibatkan pemasaran digital.

Mungkin juga benar, tetapi tidak semestinya 95 peratus penguasaan video itu tadi tidak digunakan, ditonton dan dilihat keseluruhannya oleh para pengguna. Mengapa? Secara realitinya, tidak semua orang suka menonton video setiap masa.

Tidak semua orang menghadap telefon pintar mereka untuk semata-mata menonton video sahaja. Ada yang suka membaca, ada suka mendengar radio dan podcast, malah ada yang lebih suka melayari internet untuk berinteraksi dengan rakan-rakan dan saudara-mara di media sosial.

Setiap pengguna mempu­nyai cita rasa pembelajaran yang berbeza-beza. Betul, ada yang suka menonton video. Malah mereka banyak belajar tentang pelbagai benda dan topik melalui video. Ada juga yang tidak begitu gemar menonton video, tetapi lebih suka mencari ilmu di laman-laman web kegemaran mereka atau membaca berita-berita terkini di akhbar digital di internet. Ada juga yang gemar mendengar radio melalui tablet mudah alih mereka sambil memasak dan pelbagai lagi.

Tidak lama dahulu, ketika internet berada pada zaman kemuncaknya ada beberapa ‘pakar’ di luar sana yang meramalkan radio, televisyen dan pemasaran tradisional akan pupus. Dahsyat betul pemilihan perkataan yang digunakan - pupus. Sehingga hari ini, masih ada lagi ‘pakar’ yang masih percaya akan berlaku kepupusan ini walaupun hakikat sebenar adalah sebaliknya.

Sama juga dengan ramalan tentang blog dahulu. Ada juga ‘pakar’ yang menyatakan media sosial pasti akan membuatkan laman-laman blog mati begitu sahaja. Lihat sahaja hari ini, semuanya masih kekal.

Terbaharu, realiti maya atau virtual reality. Dengan VR, tidak semestinya pemasaran tradisional melalui pelbagai saluran ini semua akan mati. Tidak semestinya juga laman blog akan mati. Adakah media sosial akan mati juga? Sudah tentu tidak.

Secara peribadi, saya tidak gemar dengan video. Bukan tidak gemar langsung, cuma tidak gemar dengan video yang tiada kualiti. Oleh kerana ramai yang berkata video bakal menjadi trend penting dalam dunia pemasaran, mereka di luar sana mula menggunakan peranti mudah alih mereka untuk merekod video. Kononnya untuk menaikkan penjenamaan diri sendiri. Objektif yang bagus sebenarnya, saya tiada masalah dengan ini.

Tetapi apabila video digunakan untuk menasihati orang lain tentang sesuatu perkara sedangkan si tukang bercakap itu pun tiada kredibiliti langsung untuk bercakap tentang subjek tersebut, dengan sendirinya video tersebut akan menjadi merapu.

Mereka bukan tidak ada kredibiliti, tetapi mereka sebenarnya mahir tentang perkara lain. Saya tidak pasti mengapa mereka melakukannya, mungkin kerana mereka tidak sabar untuk mengumpul pengikut di media sosial seramai mungkin, atau mungkin juga kerana mereka takut dikatakan ketinggalan berbanding orang lain.

Sekiranya organisasi anda mempunyai poket yang tebal, video, sama seperti jenis kan­dungan yang lain pasti akan membantu melancarkan pemasaran anda. Tetapi sekiranya anda seorang usahawan kecil dan sederhana dan tidak mempunyai bajet yang besar, video mungkin agak mahal untuk dilakukan melainkan dengan melakukannya sendiri melalui telefon pintar yang ada. Di sini anda perlu berhati-hati.

Bagaimana untuk mengeluarkan video yang berkualiti yang berimpak tinggi? Ada dua kriteria utama yang perlu anda ada.

Kredibiliti.

Kalau tiada kredibiliti tentang pemasaran digital, ja­nganlah menasihati orang lain tentang bagaimana subjek itu. Pengetahuan, kemahiran dan pengalaman amat penting sebelum menasihati orang lain kerana mereka akan bertanya,“siapa anda untuk menasihati mereka.” Tumpu pada subjek anda, jangan bercakap tentang benda yang rambang.

Pengikut anda adalah penggemar video.

Sekiranya jawapan anda ya, bermakna anda harus memulakan langkah ke arah video. Tetapi sekiranya pengikut anda lebih ke arah pembacaan, maka dengan sendirinya anda tahu tidak ramai yang akan menonton video dan mungkin anda akan terlepas mendapatkan perhatian daripada mereka.