Ketua Setiausahanya, Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, pihak kementerian akan berbincang dengan penyelaras dasar kereta nasional ketiga, Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) berhubung perkara tersebut.

Dalam masa sama, kementerian sedang mengkaji semula program VDP bagi meningkatkan keberkesanannya, tetapi ia akan diteruskan dengan lebih mantap dan berfokus.

“Kami perlu melihat keupayaan dan kapasiti mereka. Tetapi buat masa ini, kami tidak mempunyai had tertentu bagi penglibatan vendor ini. Beri kami masa untuk menyemak kertas cadangan ini semua,” katanya selepas Sidang Kemuncak Pemasaran Global 2018 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara (Insken), Muhd. Firdaus Azharuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Datuk Husni Salleh.

Sidang kemuncak kali kedua itu dianjurkan oleh Insken dan dihadiri 800 usahawan di seluruh negara.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming berkata, lebih 80 peratus vendor di negara ini berkemahiran tinggi untuk mengeluarkan komponen kenderaan terutama untuk projek syarikat kereta nasional ketiga.

Mengenai Dasar Keusahawanan Negara, Wan Suraya berkata, terdapat lapan isu yang sedang diteliti dan ia akan dibentangkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof tidak lama lagi.

Katanya, kebanyakan perkara tersebut membabitkan isu semasa untuk melihat pemba­ngunan industri secara menyeluruh.

MED ketika ini sedang mera­ng­ka polisi mengenai Dasar Keusahawanan Negara yang inklusif dan kompetitif melibatkan beberapa isu strategik antaranya pembiayaan, latihan, koperasi, pangkalan data, operasi/rasionalisasi dan antarabangsa.