“Sehubungan itu, Utusan akan terus mengatur strategi untuk menstruktur semula perniagaan dan operasi termasuk merasionalisasi struktur kos bagi menjamin kemapanan perniagaan kumpulan,” kata syarikat itu dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.


Utusan berjaya mengurangkan kerugian selepas cukai kepada RM2.7 juta bagi suku kedua 2018, lebih rendah berbanding kerugian RM10.7 juta yang direkodkan pada suku sama tahun sebelumnya.


“Kerugian yang lebih rendah ini dicatatkan selepas mengambil kira pendapatan yang berkaitan dengan projek pembekalan tablet serta kontrak cetakan sepanjang separuh kedua ini,” kata Utusan.


Sementara itu bagi separuh pertama berakhir 30 Jun, Utusan merekodkan kerugian selepas cukai RM8.5 juta, juga lebih rendah berbanding kerugian RM33.5 juta pada tempoh sama tahun lalu.


“Kerugian yang lebih rendah ini direkodkan berikutan peningkatan pendapatan sebanyak 25 peratus walaupun kos operasi menokok sebanyak 13 peratus,” jelas syarikat tersebut. - UTUSAN ONLINE