Mereka ialah Datuk Dr. Ibrahim Yahaya, Datuk Mohd. Azmi Othman, Wan Zalizan Wan Jusoh dan Datuk Ahmad Fauzi Zahari yang masing-masing memiliki kelayakan dan pengalaman dalam bidang korporat.

Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir berkata, syarikat mengalu-alukan pelantikan keempat-empat ahli perniagaan tersebut yang diyakini bakal menyuntik aspirasi yang diperlukan bagi membawa syarikat melangkah maju ke hadapan.

“Pelantikan mereka berempat mengisi komposisi ahli lembaga yang kini diisi oleh Aziz, Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd. Noordin Abbas dan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ibrahim, 58, yang memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Komunikasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (2015) ialah seorang ahli media yang berpengalaman. Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Akhbar kepada Timbalan Perdana Menteri dari Ogos 2015 hingga Mei 2018; Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV (2013-2014); Penasihat Media bagi Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (2011-2013) dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (2009-2011).

Mohd. Azmi, 50, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Teknolologi Mara pula, ialah seorang peguam yang menjadi rakan kongsi utama firma guaman Tetuan Azmi Hisham & Co.

Beliau turut menjadi ahli lembaga pengarah KYM Holdings Berhad sejak 2007 sehingga kini dan ahli lembaga pengarah Majuperak Holdings Berhad sejak 2014 sehingga kini.

Sementara itu, Wan Zalizan, 48, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran Perniagaan jurusan Kewangan (Kepujian) dari Universiti Nebraska-Lincoln, Amerika Syarikat (1994), pernah memegang jawatan Ketua Eksekutif bagi Menteri Besar Incorporated (Terengganu) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan bagi Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. dari 2015 hingga 2016.

Sebelum itu, beliau ialah Ketua Pegawai Operasi di Export-Import Bank Malaysia Berhad (2012-2015) dan memegang pelbagai jawatan semasa berkhidmat di Maybank (1994-2012).

Kini beliau adalah Pengarah Dayanine Equity Sdn. Bhd.

Ahmad Fauzi, 55, pula memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Boise State University, Idaho, Amerika Syarikat (1987) dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Hawaii Pacific University, Amerika Syarikat (1984).

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Teknology Park Malaysia sejak 2015 sehingga Jun 2018 dan pernah menjadi ahli lembaga Institut Profesional Baitulmal (2014-2017). - UTUSAN ONLINE