Pengarah Urusan Muhibbin Group Sdn. Bhd., Md. Ghazali Ibrahim berkata, antara aspek penting yang perlu dititikbe­ratkan dalam jual beli hartanah adalah membayar zakat daripada keuntungan yang dijana melalui pelaburan hartanah.

Selain itu katanya, orang ramai juga disaran membeli rumah berdasarkan kemampu­an individu ter­babit supaya mereka tidak mengikat 'perut’ ataupun berhutang keliling pinggang.

“Membeli lebih daripa­da satu rumah tidak salah, tetapi jangan sampai tidak membayar zakat, amalan sedekah dikurangkan dan duit untuk ibu bapa dikurangkan.

“Sesungguhnya, al-Quran dan hadis banyak kali menyebut mengenai harta dan kita seharusnya mencari kekayaan berlandaskan Islam,” katanya dalam sesi perbincangan bertajuk Islam dan Hartanah pada Simposium Hartanah Utusan 2017 (SHU 2017) di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu menekankan empat ciri pemilihan rumah iaitu lokasi yang berdekatan dengan masjid, jauh daripada pusat maksiat, suci daripada amalan syirik dan membantu anak yatim.

Menurut Md. Ghazali, pe­maju hartanah perlu bertanggungjawab memastikan lakaran sesebuah rumah itu sesuai dengan konsep Islam seperti kedudukan tandas yang tidak menghadap arah kiblat.

“Pihak pemaju yang terdiri dalam kalangan bukan Islam misalnya boleh meminta bantuan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan atau jabatan agama Islam berhubung arah kiblat ini,” jelasnya.