Ahli Majlis Mara, Datuk Ariss Samsudin berkata, meskipun terdapat hampir 70,000 usahawan di bawah agensi tersebut namun jumlah penyertaan mereka dalam industri halal terlalu kecil.

“Usahawan bumiputera di bawah Mara sangat kurang melibatkan diri dalam industri halal terutama pengeluaran makanan kerana kekangan seperti lokasi pengilangan tidak sesuai dan tidak komited merebut sijil Amalan Pengilangan Baik (GMP).

“Pada masa ini, majoriti pengusaha yang mendapat sijil GMP adalah usahawan bukan Islam yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan sebelum sijil halal dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Asia Niaga di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Mara, Salmah Hayati Ghazali dan Pengerusi Mara negeri, Teh Arfah Kamarul Zaman.

Ariss memberitahu, usahawan bumiputera perlu mempunyai daya saing yang tinggi untuk berjaya dalam industri halal dan Mara akan terus menyokong mereka dalam bentuk bantuan modal dari semasa ke semasa.

“Usahawan Mara harus ingat, mereka juga perlu memenuhi syarat-syarat untuk mendapat sijil GMP sebagaimana yang perlu dilalui oleh usahawan-usahawan makanan dalam kalangan bukan Islam. Tiada jalan pintas ke arah itu,” ujarnya.

Sementara itu, sebanyak 37 gerai mengambil bahagian dalam pameran perniagaan antarabangsa, Asia Niaga yang telah berlangsung dari 31 Oktober hingga semalam di pusat beli-belah Anggerik Mall di sini.