Presidennya, Datuk Seri G. Gnanaraja berkata, Rusia mempunyai potensi besar pasaran produk halal dengan populasi penduduk Muslim kira-kira 50 juta orang.

Menurutnya, Malaysia yang dikenali sebagai perintis industri halal antarabangsa mempunyai peluang menjadi rakan dagangan Rusia menerusi landasan produk halal dihasilkan oleh syarikat Malaysia.

“Pasaran halal di Rusia berkembang pesat dengan segmen yang meliputi lebih daripada 100 peratus saiz pertumbuhan, sekali gus berpotensi kepada pembukaan syarikat Malaysia di sana.

“Untuk mewujudkan hubungan terbabit, Agro Malaysia mengalu-alukan pembabitan syarikat yang mengeluar serta menghasilkan barangan halal khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

“Sektor halal domestik dianggap maju dan terbahagi kepada dua subsektor iaitu makanan serta bukan makanan di mana segmen bukan makanan merangkumi perubatan, farmasi, logistik, kosmetik, perabot, getah dan kewangan Islam,” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, Gnanaraja menghadiri sesi penerangan untuk meningkatkan hubungan dagangan dua hala antara Malaysia-Rusia di ibu pejabat Agro Malaysia di sini.

Menurut beliau, peluang menerokai pasaran halal Rusia akan memberi pendedahan kepada pengusaha dan pengeksport negara terutama PKS mengenai cara-cara menembusi pasaran negara terbabit serta kaedah mempromosikan produk dengan tepat.

“Ia tidak tertumpu kepada sektor makanan, malah terbuka buat sektor perkhidmatan. Bagi segmen makanan, mereka perlu memastikan kualiti produk, memeriksa semula pembungkusan produk agar memenuhi kriteria dan standard ditetapkan,” katanya.

Dalam aspek ini, kata Gnanaraja, penerimaan produk dan perkhidmatan halal semakin meningkat di seluruh dunia yang bukan sahaja melibatkan negara Islam tetapi juga negara bukan Islam.

“Permintaan bagi produk halal di negara bukan Islam penting dalam pasaran baharu seperti Rusia, Brazil, India, China, Perancis dan Belanda kerana ia mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

“Apatah lagi Malaysia mempunyai kepelbagaian produk dan perkhidmatan yang baik. Justeru, selain daripada industri makanan, pasaran Rusia juga dilihat berpotensi untuk sektor makanan laut,” katanya.

Dalam pada itu, Gnanaraja berkata, Agro Malaysia akan turut menyertai usaha meningkatkan pasaran import minyak sawit Malaysia di Rusia memandangkan negara itu dikenalpasti sebagai pengguna utama minyak dan lemak.

Ini termasuk mempromosi Novelin, iaitu minyak masak campuran untuk pasaran Rusia serta prospek kernel sawit (benih yang boleh dimakan dari buah kelapa sawit) dalam makanan haiwan di Rusia.

Malaysia, kata Gnanaraja, boleh mengharapkan Rusia mengimport lebih banyak minyak sawit menerusi peningkatan permintaan untuk minyak dan lemak.

Kata beliau,“Import minyak sawit oleh Rusia telah meningkat dari purata 150,000 tan setahun kepada 626,000 tan metrik tahun lalu dengan Malaysia membekalkan 14 peratus.

“Untuk meningkatkan bahagian pasaran, Agro Malaysia telah membuat perancangan untuk memperbaharui dan memperluaskan hubungan serta memupuk pemahaman yang lebih baik dengan pembeli, pengeluar dan pengguna akhir yang berkaitan dengan minyak dan lemak di Rusia.”

Ketika ini pengeluaran minyak dan lemak domestik Rusia tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan penduduknya yang berjumlah 144 juta orang.

Minyak sawit kini menyumbang 69 peratus daripada jumlah minyak dan lemak yang diimport oleh Rusia dan merupakan minyak sayur-sayuran kedua paling popular digunakan di Rusia selepas minyak bunga matahari.- UTUSAN ONLINE