Pengerusi MIDA, Tan Sri Amirsham A. Aziz berkata, pihaknya te­lah meluluskan sebanyak RM577.6 juta geran DISF kepada 135 projek pelaburan domestik sehingga November tahun ini.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, 32 projek atau pun 22 peratus daripadanya dengan jumlah keseluruhan RM124.5 juta merupakan projek-projek syarikat majoriti milik Bumiputera.

Katanya, peratusan itu masih kecil dan MIDA berharap lebih ba­nyak syarikat tempatan terutamanya syarikat Bumiputera memanfaatkan dana yang disediakan.

“Syarikat tempatan yang ingin memperbaiki atau meningkatkan keupayaan teknologi mereka, memperoleh piawaian antarabangsa bagi mendapatkan peluang penyumberan luar daripada syarikat global digalakkan untuk memohon dana ini.

“Syarikat-syarikat Bumiputera yang telah menerima dana terbabit adalah dalam industri aeroangkasa, automotif, elektronik dan elek­trikal, solar dan minyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Konvensyen Aspirasi Usahawan Muslim 2014 anjuran de­ngan tema “Jutawan Muslim, Fikrah Mukmim Dari Lokal ke Global” di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Menurutnya lagi, sehingga kini DISF telah dinikmati oleh lebih 50 peratus pelabur tempatan.

Sementara itu, Amirsham ber­kata, usahawan perlu mempertingkatkan kemahiran dalam pe­ngurusan perniagaan dan pe­laburan dalam usaha mempertingkatkan jati diri.

Menurutnya, kemahiran tersebut termasuklah melengkapkan diri dengan pengetahuan keusahawanan, menjalinkan kerjasama de­ngan perusahaan lain terutamanya syarikat korporat.

“Jalinan kerjasama dengan perusahaan ini perlu supaya usahawan dapat memanfaatkan teknologi terkini, meluaskan rantaian perniagaan dan pelaburan, kekuatan kewangan dan nilai keusahawanan serta memperluaskan perniagaan sehingga ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Konvensyen anjuran MIDA de­ngan kerjasama DPIM yang dianjurkan untuk mengalakan dan memperkukuhkan landskap pelaburan domestik terutamanya bagi me­ningkatkan penyertaan Bumiputera dalam bidang ekonomi terbabit te­lah dihadiri oleh 350 peserta.