JOHARI ABDUL GHANI
JOHARI ABDUL GHANI

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, sektor awam mesti meningkatkan perkhidmatan mereka yang berteraskan rakyat supaya dapat menyediakan prosedur yang mudah dan menjadikan agensi kerajaan seperti fasilitator per­khidmatan dalam menambah baik keterhubungan.

Buat masa ini ujarnya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang mempelopori inisiatif Kesediaan Keupayaan dan Kecekapan Kerajaan Digital (DGCCR) bagi menambah baik kecekapan dan keupayaan kakitangan awam untuk bekerja dalam persekitaran digital.

“Bagaimanapun, transformasi yang dilaksanakan harus dijalankan dengan betul dan dikendalikan dengan inklusif bagi memastikan perubahan tersebut mampu dicapai seperti disasarkan di bawah Rancangan Malaysia ke-11.

“Bagi sektor awam, dengan mengguna pakai teknologi digital seperti awan, mudah alih, media sosial dan Internet Segala-galanya (IoT) dan analisis data besar akan memberi potensi yang besar kepada nilai perkhidmatan awam di semua peringkat dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Mente­ri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong pada majlis perasmian Konvensyen Pemimpin MyDigital 2017 ‘Transformasi Digital: Kecekapan Di­­gital Sektor Awam’ di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Datuk Dr. Mazlan Yusoff; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan), Datuk Seri Hashmuddin Mohammad; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Nor Inchun Mohamed Salleh; Pengerusi Prestariang Group, Datuk Mohamed Yunus Ramli Abbas dan Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K.Raman.

Persidangan itu diadakan kali pertama dengan menghimpunkan semua ketua pegawai teknologi maklumat daripada sektor awam melibatkan pelbagai unit dan segmen dalam usaha menyemarakkan budaya digital perkhidmatan awam.

Sementara itu, Hashmuddin berkata, dengan kontrak seperti Perjanjian Pelesenan Utama (MLA) 1.0 hingga MLA 2.0, lebih RM70 juta mampu dijimatkan oleh kerajaan dan 34 peratus penjimatan itu termasuk latihan kepada 19,000 kakitangan bagi produk-produk Microsoft.

“Dengan kos yang mampu dijimatkan ini, kami berharap dapat bergerak kepada MLA 3.0 dan meneroka pelbagai peluang pada masa hadapan serta mahu melihat lebih banyak usaha sama yang berjaya dengan pemain industri,” katanya.

MLA adalah program yang diluluskan kerajaan direka khusus untuk menyediakan fleksibiliti dalam pembelian perisian Microsoft dan menawarkan faedah harga dan jaminan perisian bagi semua agensi kerajaan termasuk di peringkat Persekutuan, negeri, serantau, perbandaran dan tempatan.