UOB dalam kenyataannya berkata, MoU itu mengesahkan komitmen pihaknya untuk membantu PKS merebut peluang baharu, memenuhi keperluan modal kerja dan kemajuan melalui pelbagai peringkat pertumbuhan.

Katanya, UOB Malaysia akan memberikan nasihat kewangan dan penyelesaian SJPP-UOB BizMoney, kemudahan pinjaman yang dijamin kerajaan kepada lebih tiga juta PKS yang pemiliknya bergabung dengan persekutuan.

“Melalui penyelesaian SJPP-UOB BizMoney, PKS boleh mendapat pinjaman tanpa cagaran sehingga RM1 juta. SJPP akan menjamin sehingga 70 peratus daripada pinjaman melalui jaminan modal kerjanya dan skim jaminan proses automasi,” katanya di sini hari ini.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Perbankan Perniagaan UOB Malaysia, Raymond Chui berkata, komitmen bank ialah menyokong pembangunan dan kemajuan PKS tempatan serta menyediakan penyelesaian pembiayaan yang fleksibel untuk membantu memenuhi keperluan unik mereka dan cabaran.

“Kami boleh menyokong lebih banyak PKS di seluruh negara dengan menawarkan kepada mereka fleksibiliti untuk mengakses tambahan modal kerja tanpa perlu cagaran dan langkah ini akan membantu mereka maju ke peringkat pertumbuhan seterusnya,” katanya. - UTUSAN ONLINE