Ketua Pegawai Eksekutif UOB Asset Management, Lim Suet Ling berkata, UGIFF adalah dana pelbagai aset untuk semua keadaan pelaburan menawarkan pendapatan tetap dan peningkatan modal yang berpotensi kepada pelabur.

Menurutnya, dana berkenaan akan dilabur dalam spektrum kelas aset global yang luas sekali gus dapat mengatasi prestasi persekitaran ekonomi berbeza sama ada pertumbuhan atau inflasi.

“UGIFF mampu menyediakan pelabur dengan pulangan antara empat hingga lima peratus setiap tahun yang diedarkan setiap suku tahun.

“Pelancaran dana ini adalah tepat pada masanya memandangkan pelabur menjangkakan pasaran global bakal menghadapi lebih banyak ketidaktentuan ekonomi berikutan perubahan dasar oleh bank pusat seluruh dunia dan risiko geopolitik yang berterusan,” katanya dalam taklimat media di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden dan Pengarah Pelaburan Wellington Management Singapore Pte. Ltd., Andrew Sharp-Paul. - UTUSAN ONLINE