Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din
Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din

Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, keuntungan sebelum cukai naik 32 peratus kepada RM63.4 juta.

Katanya, jumlah tersebut tidak termasuk keuntungan sebanyak RM44.4 juta hasil daripada penjualan aset bukan terasnya.

“Bahagian Pembangunan Hartanah dan Pelaburan merekodkan peningkatan 29 peratus dalam perolehannya, disumbangkan oleh Sentral Residences dan Eastern Burwood Development di Melbourne.

“Dengan kedua-dua projek pembangunan hartanah utama ini siap dan projek baharu masih dalam peringkat awal pembinaan, pendapatan tahun ini akan terus dikuasai oleh bahagian kejurute­raan, pembinaan dan alam sekitar kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohamad Salim, bahagian Pembangunan Hartanah turut merekodkan perolehan dan keuntungan hasil daripada projek-projek yang sedang dibangunkan termasuklah di Jalan Klang Lama, menara pejabat di PJ Sentral Garden City dan Menara MRCB di Putrajaya dan beberapa pendapatan berulang daripada pelaburan hartanahnya di KL Sentral CBD dan Shah Alam bernilai RM5.9 juta dalam tempoh sama.

Ujarnya, hasil Bahagian Kejuruteraan, Pembinaan & Alam Sekitar MRCB juga diperoleh daripada pembinaan projek MRCB Land yang sedang berjalan dan pembinaan beberapa bangunan komersial bercampur di Johor, projek pembinaan berkaitan penghantaran kuasa di seluruh Semenanjung Malaysia dan projek kejuruteraan awam lain di Lembah Klang.

“Sumbangan daripada pemilikan 50 peratus ke atas MRCB-George Kent Sdn Bhd., PDP untuk LRT3, masih sangat rendah tetapi akan memperlihatkan pertumbuhan yang lebih kukuh pada separuh kedua tahun ini apabila projek itu berlangsung.

“MRCB juga kini memiliki sejumlah RM6.3 bilion buku tempahan selepas memenangi kontrak bernilai RM409 juta,” katanya.