Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Proton, Abdul Rashid Musa berkata, lebih 1,000 pengguna turut berkongsi mengenai undian itu, sementara video yang dimuat naik bersama dengan undian turut mendapat lebih daripada 165,000 tontonan.

“SUV baharu ini merupakan titik tolak yang bermakna buat Proton dan oleh itu, kami mahu berkongsi dengan rakyat Malaysia kerana ia juga merupakan satu simbol pencapaian buat negara.

“Kami tidak menjangkakan jumlah penyertaan sebanyak ini dalam masa yang singkat, kami amat terharu dengan perhatian yang diberikan kepada SUV segmen premium pertama yang dihasilkan oleh jenama automotif Malaysia ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata, sebagai tanda penghargaan, baucar hadiah bernilai RM100,000 akan dibahagikan kepada mereka yang turut serta dalam undian tersebut.

“Lima pemenang akan di­pilih berdasarkan makna terbaik yang diberikan di sebalik nama yang diundi, akan menerima pakej hadiah seperti undangan eks­klusif pada majlis pelancaran untuk menjadi antara yang pertama memandu uji SUV itu di litar ujian Proton.

“Selain itu, orang ramai turut diberi pilihan mencadangkan nama lain dan sekiranya nama yang diberikan terpilih, seorang pemenang akan menerima pakej pelancongan bagi dua orang ke Hangzhou dan Shanghai terma­suk lawatan ke Ibu pejabat Geely,” katanya.

Dalam video promosi undian itu, Proton berkongsi ciri-ciri baharu SUV tersebut yang lengkap dengan teknologi canggih seperti pengenalan suara pintar, kamera tiga dimensi 360 darjah, kawalan pelayaran adaptif, bantuan brek kecemasan serta pelbagai lagi.

SUV berkenaan merupakan produk pertama Proton yang dibangunkan bersama dengan rakan niaga, Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. serta bakal menjadi titik permulaan bagi barisan model kenderaan baharu jenama automotif negara tersebut.

Tarikh tutup undian adalah pada 30 April ini pada jam 11.59 malam dan nama pemenang akan diumumkan sebelum tarikh pelancaran SUV pertama Proton tersebut.