Pengerusi Kumpulan UMW, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, selongsong kipas itu akan dihantar ke kilang pemasangan mesin dan ujian enjin Rolls-Royce di Seletar Aerospace Park di Singapura.

“Hari ini menandakan satu peristiwa penting bagi UMW kerana penyerahan selongsong kipas kepada Rolls-Royce ini mencerminkan keupayaan kami dalam pembuatan nilai tinggi seperti yang dijadualkan.

“Sudah terkenal dengan perniagaan automotif dan jentera, UMW kini berdaya maju memasuki industri pembuatan komponen aeroangkasa,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran tersebut di sini hari ini.

Acara penyerahan selongsong berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan. - UTUSAN ONLINE