PENGASAS United Maex Sdn. Bhd. (UMSB), He Yi Feng.

Pengasasnya, He Yi Feng berkata, platform pertukaran ekuiti ini dimulakan oleh Malaysia Ding Hao Holding Group bersama syarikat pengurusan aset, China Hainan Qicheng dengan mengambil inisiatif konsep One Belt One Road untuk menjana kebaikan bersama dengan mempelajari kejayaan model Pertukaran Ekuiti China.

“Dengan pelbagai jenis projek pembangunan, ia boleh mewujudkan peningkatan ekonomi dalam pelbagai sektor. Kami bekerjasama dengan pelbagai latar belakang perusahaan untuk membangunkan hubungan melalui akujanji perniagaan berskala besar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

UMSB adalah pakar pengumpulan hak harta, tuntutan, ekuiti, harta intelek dan perkhidmatan urus niaga.

Menurut Yi Feng, UMSB melalui anak syarikatnya Asiatic Green Tech (AGT) Sdn. Bhd. dalam run­dingan terakhir dengan tiga buah pengeluar terbesar di Wilayah Shandong China untuk membawa masuk pelaburan dalam teknologi hijau iaitu kenderaan elektrik, jentera agrikultur dan trak makanan elektrik ke Malaysia.

Katanya, tiga syarikat yang menyatakan minat untuk mela­bur ke Malaysia iaitu, BYVIN Holding Group Co. Ltd. (pengeluar kenderaan EV), Shandong Jiejingdianche New Energy Technology Co., Ltd. (pengeluar trak makanan elektrik) dan Shuaike Co. Ltd. (pengeluar jentera dan peralatan pertanian).

“Berikutan komitmen yang dinyatakan oleh ketiga-tiga syarikat itu, satu pasukan terdiri daripada AGT, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan pakar industri akan melawat kesemua syarikat tersebut untuk mendalami teknologi serta kepakaran,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan meyakinkan ketiga-tiga syarikat tersebut untuk membawa pelaburan ke Malaysia membuktikan platform yang disediakan oleh UMSB membolehkan usahawan dari China meneroka peluang perniagaan di Malaysia berikutan hubungan erat dua hala antara kedua-dua kerajaan.

Berikutan itu katanya, sudah tiba masanya usahawan PKS dan IKS merebut peluang di negara tembok besar itu melalui kemudahan dan platform yang ditawarkan oleh UMSB.

Selain itu katanya, UMSB mempunyai visi untuk mewujudkan operasi perniagaan yang realistik dan inovatif dengan menggunakan platform pertukaran ekuiti projek di ASEAN tidak lama lagi.

“Sebagai permulaan ke arah itu, UMSB menyediakan maklumat transaksi kepada semua pihak yang terlibat untuk tujuan komunikasi dan menyediakan maklumat harga bagi membolehkan usahawan mewujudkan saluran komunikasi sebelum melakukan sebarang transaksi,” katanya.