Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Bhd., Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, Residensi Solaris Parq yang dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM755 juta direka bagi menonjolkan penyatuan harmoni alam sekitar dan kemewahan serta bakal meningkatkan daya tarikan kawasan Mont Kiara dan Dutamas.

Menurutnya, projek yang mengandungi dua menara menawarkan 576 buah kediaman bersaiz daripada 721 sehingga 2,469 kaki persegi bakal dijual pada harga bermula RM873,800 hingga RM2.96 juta dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2022.

“Residensi Solaris Parq adalah permulaan kepada pembangunan keseluruhan projek bersepadu Solariq Parq di mana kami bukan sahaja menyediakan pembangunan berkualiti tetapi juga menawarkan komuniti yang mapan.

“Kami percaya pembangunan Solaris Parq ini akan merubah kawasan Mont Kiara dan Dutamas bukan sahaja sebagai sebuah kawasan yang menarik untuk didiami tetapi juga penting kepada kesejahteraan komuniti,” katanya ketika melancarkan Residensi Solaris Parq di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi UEM Sunrise, Datuk Roslan Ibrahim dan Ketua Pegawai Pemasaran UEM Sunrise, Pam Loh. - UTUSAN ONLINE