KUALA LUMPUR , 9 OKTOBER 2017 - CEO UEM Sunrise Berhad , Anwar
Anwar Syahrin Abdul Ajib

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, ketika ini, pihaknya sedang meninjau peluang pasaran di Sydney setelah UEM Sunrise membangunkan projek Aurora di Melbourne sebelum ini.

Katanya, buat masa ini bank tanah milik UEM Sunrise hanya merangkumi satu peratus dan ia akan ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Kami ketika ini sedang meneliti beberapa pilihan dan peluang di peringkat pengurusan dan lembaga pengarah. Dengan strategi yang betul dan produk yang menepati kehendak, kami akan memulakan pengemba­ngan di peringkat antarabangsa,” katanya di sini baru-baru ini.

Di peringkat antarabangsa, UEM Sunrise membangunkan Aurora Melbourne Central se­tinggi 92 tingkat merupakan pembangunan tertinggi di Central Business District, projek Conservatory setinggi 42 tingkat di Mackenzie Street dan baru-baru ini melancarkan projek Mayfair yang terletak di St. Kilda Road.

Selain itu, UEM Sunrise turut melaksanakan pembangunan bercampur seluas 12.14 hektar secara usaha sama di Durban, Afrika Selatan.

Syarikat juga dilantik sebagai pengurus projek bagi pe­ngurusan pemasaran dan pembangunan untuk projek Marina One dan DUO di Singapura yang dibangunkan M+S Pte. Ltd. ia­itu syarikat usaha sama antara Khazanah Nasional Berhad dan Temasek Holdings Pte. Ltd.

Menurut Anwar Syahrin, UEM Sunrise akan terus me­ngukuhkan aliran tunai syarikat menerusi jualan projek baharu dan inventori siap termasuk strategi menjana kewangan da­ripada aset yang menyaksikan tiga tanah dilupuskan pada 2017 dan dijangka lengkap pada suku ketiga dan keempat tahun ini.

Katanya, pada tahun lalu, UEM Sunrise telah melupuskan beberapa tanah tidak strategik terutama tanah berskala kecil di Iskandar Puteri, kecuali tanah seluas 1.93 ekar di Richmond, Kanada yang dilupuskan kepada South Street Development Group, pemaju hartanah di Kanada pada Mac lalu dengan pertimbangan tunai berjumlah RM371.4 juta.

“Kami mengambil keputusan untuk keluar daripada pasaran di Kanada dan menyelaraskan fokus kami di Malaysia terma­suk mencari lokasi lain yang berpotensi dan berhampiran dengan negara,” katanya.

Beliau berkata, syarikat yakin dapat mencapai sasaran jualan tahun ini sebanyak RM1.2 bilion berdasarkan jumlah setakat ini yang merekodkan jualan seba­nyak RM538.6 juta.