Uber dalam kenyataannya berkata, rayuan tersebut dibuat secara bebas daripada Grab.

“Keputusan CCCS mengenai urus niaga yang didapati menyebabkan pengurangan per­sai­ngan yang ketara, dan Uber de­ngan sengaja melanggar undang-undang, adalah tidak disokong dan tidak benar,” kata Uber dalam kenyataan di sini hari ini.

Bulan lalu, Singapura mendenda Grab dan Uber serta turut mengenakan sekatan terhadap operasi mereka selepas mendapati bahawa penggabungan kedua-dua firma berkenaan te­lah mendorong kenaikan harga. Uber dan Grab masing-masing dikenakan denda S$6.58 juta (RM19.87 juta) dan S$6.42 juta (RM19.4 juta).

Grab bagaimanapun tidak memberikan komen mengenai perkara berkenaan namun Ketua Grab Singapura memberitahu akhbar Straits Time, pihaknya tidak bercadang untuk membuat rayuan.

Uber meminta CCCS untuk membatalkan denda, dan berkata pengawal selia telah menggunakan takrifan yang sangat sempit mengenai pasaran perkongsian kenderaan.

Ia juga merujuk kepada kema­sukan Go-Jek ke negara berkenaan dengan mengatakan bahawa syarikat perkongsian kenderaan Indonesia itu akan menjadi pesaing yang hebat bagi Uber.

Uber turut mempertikaikan tuduhan CCCS bahawa ia tahu bahawa urus niaga itu melanggar undang-undang tetapi masih tetap melaksanakannya.

“Sebaliknya, pandangan kami selalu berada dalam pasaran yang ditakrifkan dengan baik termasuklah pasaran perkongsian kenderaan paling rendah seperti teksi jalanan dan pendatang baharu.

“Urus niaga kami menghormati undang-undang dan tidak menimbulkan kebimbangan yang besar,” katanya.

Uber menjual perniagaan Asia Tenggaranya kepada pesaing terbesar di rantau berkenaan, Grab pada Mac sebagai pertukaran bagi 27.5 peratus pegangan dalam firma yang berpangkalan di Singapura itu.

Minggu lalu, pengawal selia persaingan Filipina juga me­ngenakan denda terhadap kedua-dua firma, dengan me­ngatakan penggabungan syarikat berkenaan terlalu cepat dan kualiti perkhidmatan yang disampaikan semakin buruk. – REUTERS