Bagaimanapun, situasi demikian walaupun kelihatan cantik di atas kertas namun ia memberi persepsi berbeza kepada para pelabur, contohnya apa yang berlaku terhadap Telekom Malaysia Berhad (TM), FGV Holdings Berhad (FGV) dan terbaharu, Lembaga Tabung Haji. Ini juga termasuk penjualan saham IHH Healthcare Bhd. 1kepada Mitsui & Co. Ltd. hingga menjadikan syarikat Jepun itu pemegang saham terbesar berbanding sebelum itu dimiliki Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Wartawan Utusan Malaysia, ZUNAIDAH ZAINON mendapatkan pandangan Penganalisis Politik Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), AIRA AZHARI berhubung perkara berkenaan baru-baru ini.



Utusan: Merujuk kepada beberapa situasi melibatkan tadbir urus organisasi berkaitan kerajaan sejak akhir-akhir ini, apakah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan supaya ia tidak terus berulang?

AIRA AZHARI: Dalam hal ini, penguatkuasaan undang-undang anti-rasuah perlu dilaksanakan dengan lebih kukuh. Syarikat yang merugikan juga sepatutnya ditutup ataupun diswastakan.

Dua saman yang dikemukakan FGV kepada pemegang saham terdahulu mungkin tidak pernah dilakukan mana-mana GLC sebelum ini, adakah ia akan menjadi titik tolak kepada tadbir urus yang telus melibatkan GLC lain?

Krisis yang melanda FGV menunjukkan terdapat banyak kepincangan dalam tadbir urus GLC sebelum ini. Jika kerajaan serius dalam membanteras masalah ini, maka FGV boleh dijadikan contoh untuk kes-kes penyalahgunaan kuasa dan ra­suah melibatkan GLC lain.

Ramai pihak ternanti-nanti apakah pulangan Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setelah PNB mengumumkan pulangan dividen ASB yang rendah minggu lalu, apakah sebenarnya yang berlaku?

Saham yang merudum selepas PRU-14 adalah sesuatu yang sukar dielakkan kerana mempunyai elemen ketidakstabilan politik. Akan tetapi, saham-saham ini akan terus me­rudum jika krisis seperti Tabung Haji dan FGV tidak diselesaikan dan diuruskan dengan baik. Kerajaan perlu meningkatkan usaha untuk mengembalikan keyakinan pelabur terhadap institusi-institusi GLC ini jika inginkan saham pada GLC ini meningkat semula pada kadar yang memuaskan.

Bolehkah keyakinan pelabur ini ditingkatkan semula terutama apabila 2019 yang dijangka terus mencabar? Adakah kesan daripada isu GLC ini akan mempengaruhi keadaan pasaran?

Keyakinan pelabur boleh di­tingkatkan kembali jika kerajaan mengambil langkah-langkah lebih proaktif dalam melakukan reformasi di GLC. Dalam masa sama, GLC sedia ada haruslah dilengkapi dengan ciri ciri yang boleh menunjukkan ketelusan dan akauntabiliti seperti tiada ahli-ahli politik duduk di dalam lembaga pegarah dan setiap liabiliti GLC yang dijamin kerajaan haruslah dibentang pada Parlimen. Jika kerajaan tidak menunaikan janji-janji reformasi GLC yang tertera pada manifesto mereka, keyakinan pelabur akan mengambil masa lebih lama untuk dipulihkan.

Apakah langkah terbaik untuk memastikan GLC ini dapat meneruskan tadbir urus yang efisien?

GLC haruslah tertakluk kepada prinsip market forces, di mana hanya produk atau per­khidmatan terbaik akan mendapat sambutan pembeli dan keuntungan untuk syarikat tersebut. Malah, GLC juga perlu mening­katkan produktiviti mereka supaya lebih berdaya saing de­ngan syarikat-syarikat swasta yang lain. Kerajaan seharusnya meneliti semula peranan mereka dalam GLC dan menstruktur semula pemilikan mereka di dalam syarikat yang tidak sepatutnya melibatkan campur ta­ngan kerajaan seperti makanan dan minuman (F&B) dan hospitaliti.