Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan sudah memberikan lesen operasi pelancongan kepada syarrikat itu yang akan bergerak atas nama TUI Group International Holiday (Malaysia) Sdn. Bhd.

Majlis penyerahan lesen itu telah berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) baru-baru ini yang disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Pada majlis itu, TUI Group diwakili oleh ahli jawatankuasa eksekutif kumpulan yang juga Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Awamnya, Thomas Ellerbeck serta Ketua Polisi Umum, Frank Puttman.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Pelancongan Malaysia, Datuk Abdul Khani Daud.

Mohamaddin berkata, kehadiran TUI Group di Malaysia akan dapat membantu meningkatkan kedatangan pelancongan ke Malaysia.

“Sektor pelancongan Malaysia amat berbesar hati dapat bekerjasama rapat dengan TUI Group dan yakin mereka akan berjaya malah mampu menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong ke Malaysia,” katanya.

Antara pakej yang ditawarkan ialah terbang dan belayar ke Malaysia pada musim sejuk hujung tahun ini dengan sasaran lebih 7,000 pelancong akan terbang ke Langkawi dari London, Birmingham dan Manchester untuk pelayaran tujuh hari enam malam di perairan ASEAN.

Langkawi akan menjadi pangkalan kepada dua kapal persiaran iaitu Marella dan MeinSchiff sepanjang tempoh kempen itu.

Inisiatif ini akan menjadikan Langkawi sebagai tumpuan hub kapal persiaran dan Malaysia sebagai destinasi pelancongan unggul untuk pelancongan dan persiaran terutama bagi pasaran Eropah.

TUI Group, beroperasi kebanyakannya di Eropah membabitkan hampir 20 juta pelanggan, 300 hotel, 16 kapal persiaran dan lebih 150 pesawat bawah kendaliannya. - UTUSAN ONLINE