Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Kushairi Din berkata, tugas mencabar itu adalah untuk mengurangkan stok kepada 2.5 juta tan metrik menjelang akhir tahun daripada paras tinggi 3.2 juta tan metrik yang dicatatkan pada akhir Disember 2018.

Usaha untuk mengurangkan stok ini akan dipacu terutamanya daripada beberapa promosi perdagangan yang akan dijalankan oleh kerajaan dan agensi berkaitan.

Beliau berkata, MPOB menyedari bahawa situasi itu menjadi punca kebimbangan kerana peningkatan stok bermakna harga rendah bagi komoditi tersebut.

"Biasanya, apa juga (stok)  yang lebih daripada dua juta tan metrik akan menggusarkan kita dan ini (paras semasa) lebih daripada tiga juta...sudah tentunya kita perlu melakukan sesuatu yang agresif," katanya kepada Bernama dalam temu bual menerusi telefon hari ini.

Ahmad Kushairi berkata, penggunaan baharu minyak sawit perlu dicari selain kegunaan tradisinya dalam pengeluaran minyak masakan, majerin dan sabun.

MPOB menyambut baik keputusan kerajaan untuk melaksanakan program biodiesel B10 bagi sektor pengangkutan dan B7 bagi sektor industri, yang boleh membantu mengurangkan stok sebanyak 751,000 tan metrik setiap tahun.

"Kami terus mempromosikan minyak sawit kita di peringkat dunia dan dalam negara. Kami membelanjakan banyak wang, sama ada menerusi MPOB, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan juga Kementerian Industri Utama.

"Sepanjang tahun, kami mempunyai agenda kami sendiri dan ini termasuklah kempen "Love MY Palm Oil" yang dilancarkan oleh Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim, baru-baru ini.

"Kempen tersebut bertujuan memerangi kempen anti minyak sawit yang menjejaskan mata pencarian pekebun kecil," katanya.

Pekebun kecil perlu diberikan lebih sokongan dan bantuan teknikal bagi mencapai objektif kelestarian yang menjadi isu tumpuan utama kempen melobi peringkat tinggi oleh Kesatuan Eropah terhadap minyak sawit.  

Ahmad Kushairi juga berkata, kerajaan sedang berbincang untuk memindahkan beberapa pejabat  MPOB dan MPOC di luar negara, yang dikatakan berada "di lokasi salah", yang menyukarkan untuk melakukan promosi.  

"Usaha sedang berjalan lancar dan kami akan menyelesaikan isu ini secepat mungkin," katanya.

Sementara itu Pengarah Urusan Zaafi Global Venture Sdn Bhd, Roslinda Abu yang turut sependapat berkata, terdapat beberapa pejabat yang terletak di lokasi bukan strategik dan di luar bandar yang menyukarkan bagi pembeli dan penjual untuk bertemu dan mencapai perjanjian.

"Saya juga merasakan hubungan erat antara kerajaan-kepada-kerajaan perlu dipertingkatkan lagi dan duti import yang dikenakan oleh negara pengimport perlu disemak dan dikaji semula," ujarnya.

Roslinda adalah pengimport dan pengeksport produk makanan termasuk minyak sawit dan sarung tangan lateks.

Beliau mencadangkan kedutaan Malaysia menjalankan kempen agresif dalam mempromosikan minyak sawit dengan meningkatkan kesedaran dan menonjolkan manfaat komoditi itu kepada pengguna di luar negara.

"Keputusan kerajaan India untuk mengurangkan duti kastam ke atas minyak sawit diimport dari Malaysia kepada 40 peratus daripada 44 peratus membantu meningkatkan eksport minyak sawit Malaysia ke negara yang memiliki penduduk seramai 1.34 bilion orang itu," katanya.

Roslinda juga berkata, sekiranya Malaysia boleh meningkatkan hubungan baik dengan negara-negara lain, mereka juga boleh mengikuti jejak langkah India untuk mengurangkan duti import ke atas minyak sawit Malaysia.

Pengeluar minyak sawit nombor satu dunia, Indonesia, menjual minyak sawit pada harga yang lebih murah dan digesa untuk bersaing sama rata.

Tahun lepas, lima destinasi utama eksport minyak sawit Malaysia ialah India sebanyak 2.51 juta tan metrik, Kesatuan Eropah (1.91 tan metrik), China (1.86 tan metrik), Pakistan (1.16 tan metrik) dan Filipina (0.69 tan metrik).

Selain berdepan kesukaran untuk mempromosikan minyak sawit ke negara-negara Barat, beliau juga kesal komoditi yang meraikan ulang tahun ke-100 penanaman komersialnya di negara ini pada tahun lepas, menjadi semakin kurang popular malahan dalam kalangan penduduk tempatan yang merasakan minyak sawit tidak sihat hanya kerana harganya yang murah.

"Sesetengah orang mendapat gambaran yang salah, mereka merasakan minyak sawit adalah bagi orang miskin manakala minyak zaitun, sebagai contoh, adalah bagi (penggunaan) untuk orang kaya. Seolah-olah mereka meletakkan sistem kasta ke atas minyak boleh dimakan, yang mana ia adalah salah.

"Justeru itu, kami berharap, dengan kempen 'Love MY Palm Oil' yang berjalan selama setahun, kita boleh menyemai semangat kebanggaan negara dan memupuk rasa penghargaan terhadap minyak sawit," katanya.

Ahmad Kushairi berkata, kerajaan menjangka eksport minyak sawit meningkat kepada 17.2 juta tan metrik tahun ini daripada 16.5 juta tan metrik pada 2018.

Pengeluaran diunjur meningkat sebanyak empat peratus kepada 20.3 juta tan metrik berbanding 19.5  juta tan metrik setahun lalu.

Ditanya mengenai prospek harga minyak sawit mentah, beliau memetik Kok sebagai berkata: "Kami berharap harga akan berada pada purata sekitar RM2,700 setan metrik (purata). 2019 akan menjadi tahun yang baik bagi MSM".-Bernama