Ketua Pegawai Eksekutif TRX City, Datuk Azmar Talib berkata, buat masa ini pihaknya masih belum menjual sebuah hotel, dua bangunan pejabat dan sebuah projek kediaman.

Katanya, TRX City tidak terburu-buru untuk menjual unit ber­kenaan, dalam masa sama terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pelabur yang berminat.

“Fasa pengkomersialan TRX City di bahagian utara yang meliputi Kuarters Kewangan, Gaya Hidup, Taman dan Urban kini sudah mencecah 80 peratus dan kami mahu memastikan ia mapan dari aspek ekonomi dan fizikal.

“Pembangunan projek seluas 28.3 hektar ini akan memperkukuh­kan kedudukan Kuala Lumpur sebagai pusat utama institusi kewang­an dan perniagaan antarabangsa dengan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lancar dan pusat bagi firma perkhidmatan kewang­an, syarikat multinasional (MNC) dan firma sokongan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Terdahulu, TRX City menanda­tangani perjanjian perkongsian strategik dengan Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) dan Stormwater Management and Road Tunnel Sdn. Bhd. (SMART).

Persetujuan bersama itu akan membenarkan MRT Corp untuk membangun sebuah stesen bawah tanah dan terowong kereta api di tanah milik TRX.

Menurut Azmar, perjanjian bersama itu bermaksud MRT Corp dapat membawa jajaran ke dalam TRX tanpa perlu membeli plot dalam masa sama membolehkan pihaknya mengekalkan hak pembangunan lokasi yang strategik.

Jelas beliau, stesen MRT Tun Razak Exchange sudah beroperasi sejak Julai lalu menghubungkan daerah kewangan dari lokasinya di hadapan Jalan Tun Razak, berse­belahan Kuarters Kewangan TRX.

“TRX juga menandatangani perjanjian dengan SMART yang melibatkan pertukaran tanah dan penempatan semula depot penyelenggaraan SMART ke lokasi baharu di dalam TRX.

“Perkongsian dengan SMART membuka jalan bagi lebih banyak kerjasama menang-menang de­ngan pemain infrastruktur milik kerajaan yang lain pada masa akan datang,” katanya.