Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, teknologi itu diakui mempunyai pelbagai manfaat dan sistem transaksi tanpa tunai antaranya boleh mengurangkan aktiviti jenayah tersebut.

Katanya, beliau pasti aktivi­ti rasuah berlaku disebabkan penggunaan wang tunai justeru dengan menggunakan teknologi tanpa tunai ia boleh membantu mengurangkan rasuah.

“Saya rasa transaksi tanpa tunai adalah baik untuk semua negara terutamanya Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis pameran perkhidmatan yang ditawarkan oleh WeChat Pay MY bertemakan Memajukan Landskap Masa Depan Digital Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presi­den Perniagaan Antarabangsa Tencent, Poshu Yeung dan Ke­tua Pegawai Eksekutif WeChat Pay MY, Jason Siew.

Menurut data Bank Negara Malaysia (BNM), pergerakan penggunaan wang tunai di negara ini bernilai RM106 bilion pada 2018 atau kira-kira 7.4 pe­ratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ia adalah lebih rendah berbanding 2017 dan 2016 iaitu masing-masing 7.7 peratus dan 7.9 peratus.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng menepis desas-de­sus yang mengatakan wang kertas sekeping RM60 akan menggantikan wang kertas RM50.

Jelas beliau, wang kertas sekeping RM60 tidak akan menggantikan wang kertas RM50 kerana ia hanya dikeluarkan dalam kuantiti yang terhad iaitu sebanyak 60,000 keping sahaja.

“Wang kertas RM60 yang tular baru-baru ini adalah se­perti diumumkan oleh BNM pada Disember 2017 untuk mengeluarkan wang kertas peringatan bersempena Ulang Tahun ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

“Wang kertas sekeping RM60 sah digunakan (legal tender) tetapi lebih baik sekiranya ia disimpan, mungkin lagi lama, nilainya akan menjadi lebih tinggi,” katanya.

Menurut laman web BNM, Nilai muka wang kertas seke­ping ini ialah RM60 dan harga jualannya RM120 sekeping. Wang kertas peringatan yang bernombor siri istimewa dijual melalui lelongan awam pada 10 Mac 2018.