Ong Ka Chuan
Ong Ka Chuan

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, walaupun Malaysia berharap dapat memuktamadkan RCEP pada hujung tahun ini tetapi kemungkinan ia akan ditangguhkan kerana terdapat beberapa negara tidak mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sesama mereka, antaranya India dan Jepun.

Katanya, sudah tentu AS adalah pasaran yang besar dan ketika ini syarikat-syarikat dari negara tersebut melabur di Malaysia disebabkan kedudukan negara yang strategik sebagai pintu masuk ke rantau Asia Pasifik.

“Dengan situa­si yang melanda TPPA ketika ini, kita akan berikan fokus kepada RCEP dan berharap perjanjian ini dapat mengimbangi kesan negatif sekiranya TPPA tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas me­ras­mikan Persidangan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) di sini hari ini. Yang turut hadir Presi­den FMM, Tan Sri Saw Choo Boon.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia akan terus komited untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan dengan AS dan negara lain yang terlibat dalam TPPA, sama ada perjanjian itu akan dilaksanakan atau sebaliknya.

RCEP melibatkan 10 negara ASEAN dan enam rakan dagangan utama di Asia Pasifik termasuk China. Pada mesyuarat peringkat menteri terakhir di Cebu, Filipina yang lalu, beberapa kemajuan dicapai dalam merapatkan jurang ke atas isu utama bagi barangan, perkhidmatan dan pelaburan.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kenyataan semalam memberi­tahu, keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini mendorong dan memperkukuh keazaman negara RCEP, yang merupakan antara negara pa­ling pesat berkembang di dunia, untuk terus bekerja rapat dalam memuktamadkan perjanjian perdagangan ini,

Perjanjian TPPA diterajui AS turut dianggotai 11 lagi negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Malaysia dengan saiz pasaran bernilai AS$30 trilion (RM127.49 trilion).

Dalam pada itu, Ka Chuan berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh menjangkakan ekosistem yang lebih baik pada tahun depan dengan pelbagai insentif dilaksanakan kerajaan antaranya, pembentukan Akta PKS dan kewujudan platform alternatif pembiayaan se­perti dana masyarakat berasaskan ekuiti.

“Kerajaan optimis PKS akan kekal berdaya tahan dalam menghadapi cabaran dan mampu mencapai pertumbuhan yang kukuh pada masa depan,” katanya.