Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia mengekalkan sikap terbuka ke atas cadangan yang dibangkitkan oleh negara-negara terlibat mengenai TPPA.

“Tumpuan Malaysia kini ialah kepada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang berkemungkinan dimuktamadkan awal tahun 2018 de­ngan Australia, China, India, Je­pun, New Zealand dan Korea Selatan serta ASEAN sebagai pemancu utama,” katanya kepada pembe­rita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Ketiga Ekonomi Nasional, Institut Kepimpinan Strategik Asia (ASLI), di sini hari ini.

RCEP melibatkan 10 negara ASEAN dan enam rakan dagangan utama di Asia Pasifik termasuk China. Pada mesyuarat peringkat menteri terakhir di Cebu, Filipina yang lalu, beberapa kemajuan dicapai dalam merapatkan jurang ke atas isu utama bagi barangan, perkhidmatan dan pelaburan.

Kementerian Perdagangan An­tarabangsa dan Industri sebelum ini memberitahu, keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini mendorong dan memperkukuh keazaman negara RCEP yang merupakan antara negara paling pesat berkembang di dunia, untuk terus bekerja rapat dalam memuktamadkan perjanjian perdagangan ini.

Tambah Mustapa, Malaysia akan terus mengukuhkan peluang-peluang pertumbuhan dalam ASEAN dan pada masa yang sama komited untuk terus melibera­lisasikan peraturan perdagangan dan pelaburan.