Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun rundingan tergendala seketika apabila Presiden AS Donald Trump mengumumkan keputusan negara itu untuk menarik diri pada Januari lalu, kini terdapat tanda-tanda yang perjanjian perdagangan bebas itu dapat diselamatkan.

“Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) masih menjadi keutamaan kita kerana melibatkan semua negara ASEAN dan China, itu realitinya, namun apabila TPP-11 menunjukkan tanda-tanda dapat diselamatkan, kita mahu beri tumpuan semula kepada TPP,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2017 di sini lewat malam tadi.

Mustapa bahkan berkata, masih ada negara yang menaruh harapan bahawa AS akan menyertai semula TPP pada masa depan dan ketiadaan negara itu dalam pakatan berkenaan disifatkan sebagai ‘penangguhan sementara’.

Buat masa ini, tambahnya, negara anggota telah membentangkan rancangan masing-masing bagi masa depan TPP dan rundi­ngan masih berjalan memandang­kan ada beberapa peruntukan yang belum dapat dimuktamadkan. Beliau ba­gai­manapun enggan memperincikan peruntukan berkenaan.

Menurutnya, sejumlah negara anggota TPP komited untuk meneruskan perjanjian itu, malah sedia untuk berkompromi selepas rundingan sebelum ini tergantung apabila beberapa peruntukan dalam senarai tidak dipersetujui AS, termasuk berkaitan isu perusahaan milik negara dan hak pribumi.

Sejak AS menarik diri, negara lain berhadapan masalah untuk memuktamadkan perjanjian berkenaan. Selain Malaysia dan Vietnam, TPP-11 melibatkan Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru dan Singapura.

Walaupun Vietnam dan Jepun optimis satu perjanjian akan dapat dikemukakan me­ngenai masa depan TPP, Kanada dan New Zealand adalah antara negara yang menyatakan kebimbangan terhadap masa depan perjanjian itu tanpa penyertaan AS.

Bagi Malaysia, tambah Mustapa, TPP penting kerana bakal menawarkan pasaran baharu di Kanada, Mexico dan Peru yang negara belum mempunyai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengannya.

“Kalau kita tidak sertai TPP, kita akan rugi dari segi akses pasaran produk tempatan ke negara-negara besar di dunia ini,” katanya.

Lewat petang ini, Menteri Perdagangan Vietnam, Tran Tuan Anh dalam satu kenya­taan dikeluarkan Pusat Media APEC 2017, menyifatkan mesyua­rat peringkat menteri selama dua hari menunjukkan hasil yang baik, sungguhpun wujud perbezaan pendapat berhubung terma perdagangan dan perlindungan.

Selepas buat pertama kalinya, menteri-menteri APEC gagal mengeluarkan kenyataan bersama di akhir mesyuarat semalam, sehingga menyebabkan mesyuarat terpaksa disambung hari ini, persefahaman dijangka dicapai hari ini di sebalik tuntutan AS agar dilakukan pindaan terhadap bahasa yang digunakan menyentuh kedua-dua isu berkenaan.

Mesyuarat ketua-ketua kerajaan TPP dijadualkan berlangsung esok, di luar sidang kemun­cak.

TPP menyasarkan pemansuhan cukai industri dan produk pertanian dalam kalangan anggotanya yang melibatkan jumlah dagangan AS$356 bilion tahun lalu. – UTUSAN