Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Mohd. Azman Shahidin berkata, pihak­nya sudah bersedia dengan pelaksanaan sistem tersebut berikutan syarikat merupakan organisasi yang sedia patuh GST.

Malah, katanya, perniagaan TPM juga tidak akan terjejas de­ngan pelaksanaan GST berikutan kaedah perniagaan penyewaan premis TPM iaitu pembayaran cukai output boleh dituntut daripada JKDM.

Jelasnya, dari sudut perniagaan penyewaan premis, pembayaran cukai output tidak semestinya menyebabkan berlaku peningkatan dalam perbelanjaan-perbelanjaan penyewaan.

“Bagi perspektif perniagaan kami, pelaksanaan GST tidak menyebabkan peningkatan kos untuk melakukan perniagaan,” katanya di sini baru-baru ini.

TPM pada waktu ini mempunyai 218 buah syarikat pelaburan yang menyewa premis perniagaan di Bukit Jalil, di sini.

Dianggarkan sebanyak 60 peratus daripada penyewa itu mencapai perolehan tahunan melebihi RM500,000 dan mereka layak mendaftar GST.

Tambah Mohd. Azman, bagi menggalakkan penyertaan syarikat-syarikat yang menyewa di premis TPM mendaftar GST, TPM turut memainkan peranan dengan menjalankan program kesedaran GST pada September lalu sebagai satu daripada tanggungjawab korporat sosial (CSR) syarikat.

Katanya, gerai pendaftaran GST turut disediakan pada program tersebut yang mendapat maklum balas yang baik dalam kalangan penyewa.

Menurut beliau lagi, TPM juga dalam proses melakukan penukaran perisian perakaunan persendirian kepada sistem perancangan sumber usahawan (ERP) patuh GST.

Katanya, sistem itu memerlukan penyelenggaraan pangkalan data vendor dan pelanggan.

“TPM kini sedang mengumpul maklumat daripada pelanggan dan vendor bagi mengemaskini data dan proses itu dijangka siap pada akhir bulan ini,” ujarnya.