Toyota Rush varian S serba baharu berharga RM98,000 sebuah dan varian G berharga RM93,000 sebuah.

Presiden UMWT, K. Ravindran berkata, Rush serba baharu menampilkan rekaan baharu pada bahagian hadapan termasuk gril bagi menampilkan wajah yang lebih garang sementara bentuk trapezoid di bahagian bawahnya bertujuan memberikan kestabilan kepada kenderaan.

Menurut beliau, garisan dinamik yang mengunjur dari bahagian tepi sehingga ke belakang memberikan imej tiga dimensi.

MODEL Toyota Rush yang baharu dilancarkan di MAEPS Serdang hari ini.
MODEL Toyota Rush yang baharu dilancarkan di MAEPS Serdang hari ini. - UTUSAN ONLINE/MOHD. NOOR MAT AMIN

“Jentera ini menggunakan lampu hadapan dan belakang diod pemancar cahaya (LED) yang memberikan penjimatan tenaga, jangka hayat yang lebih lama dan pengaktifan lebih pantas. Selain itu, kedua-dua varian menggunakan rim aloi 17 inci dengan rekaan turbin.

“Rush serba baharu dikuasakan oleh enjin terbaharu Toyota 16-valve DOHC 1.5 liter yang memberikan kuasa maksimum sebanyak 105 PS pada 6,000 rpm dengan kuasa kilas sebesar 136Nm pada 4,200 rpm. Output ini dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan dengan sistem Mula-Berhenti Automatik,” katanya dalam majlis pelancaran Toyota Rush serba baharu di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE