Projek LSS berkapasiti 50 me­gawat (mW) tersebut akan dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuh TNB iaitu TNB Sepang Solar Sdn. Bhd. selepas memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (SPPA) awal Mac lalu untuk tempoh 21 tahun.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd. berkata, projek seluas 98 hektar itu menjadi pemangkin aspirasi TNB dalam membangunkan projek-projek tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia dan rantau ini.

“Projek ini akan memberi manfaat kepada penduduk sekitar menerusi peluang pekerjaan ketika pembinaan dan kemu­diannya mendedahkan masyarakat terutama para pelajar mengenai teknologi dan operasi penjanaan solar.

“Apabila siap pada November 2018, projek LSS ini akan menyediakan sebanyak 200,000 keping panel solar sekali gus meningkatkan kapasiti penjanaan RE TNB daripada 23.2 mW kepada 73.2 mW,” katanya ketika ditemui pada majlis pecah tanah projek itu hari ini.

Upacara pecah tanah berkenaan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Ir. Zaini Ujang.

Yang turut hadir, Naib Presi­den Usaha Niaga TNB, Datuk Nor Azman Mufti dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad, Nazree Khalifah.

Sementara itu, Zaini berkata, projek tersebut selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan penjanaan tenaga negara berasaskan RE kepada 30 peratus menjelang 2025 berbanding 22.5 peratus ketika ini.

Katanya, kerajaan telah memperkenalkan Program LSS di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 bermatlamat meningkatkan penjanaan elektrik daripada tenaga solar, selain memberi peluang ke­pada syarikat untuk membangunkan projek skala besar.

“Program ini menyasarkan pem­bangunan projek-projek solar dengan kapasiti antara 1 mW sehingga 50 mW untuk mencapai sasaran penjanaan solar sebanyak 1,250 mW menjelang tahun 2020.

“Pelaksanaannya diadakan se­­cara bidaan terbuka bagi memastikan tawaran harga adalah kompetitif dan tidak membebankan pengguna elektrik. TNB merupakan syarikat pertama yang berjaya memperoleh pakej ini,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, komitmen TNB dalam meningkatkan kapasiti penjanaan elektrik daripada RE wajar dicontohi kerana ia menyokong usaha kerajaan dalam mengurangkan kadar pelepasan karbon di bawah Perjanjian Paris.

“Industri tenaga tidak lagi bo­leh bergantung sepenuhnya kepada bahan api fosil untuk menjana elektrik kerana dunia sedang melalui satu transisi kepada cara yang lebih mesra alam dalam menjana elektrik,” katanya.